UMNO Permatang Pauh Mohon Diberi Tempat Dalam Pilihan Raya Akan Datang

PULAU PINANG, 22 Julai – UMNO Bahagian Permatang Pauh memohon diberi tempat pada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, ujar Ketuanya Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Perkara tersebut ujarnya merupakan antara usul yang dibuat oleh UMNO Bahagian Permatang Pauh dalam persidangannya sebagai terjemahan kelangsungan kerjasama yang wujud antara parti-parti kerajaan di negeri Pulau Pinang.

“Alhamdulillah kita membuat pendirian yang jelas, UMNO Permatang Pauh perlu diberi tempat dalam pilihan raya akan datang untuk memastikan kerjasama itu diterjemahkan dalam membentuk pembahagian kerusi yang lebih adil.

“Supaya kita boleh bekerjasama untuk memastikan kelangsungan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-16,” ujarnya kepada UMNO Online, ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk rekod, selain kerusi Parlimen, terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam kawasan Permatang Pauh iaitu DUN Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti yang kesemuanya ditandingi calon daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu.

Mengulas mengenai Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh yang telah diadakan, Mohd Zaidi berkata ia jelas memperlihatkan sokongan akar umbi masih teguh kepada parti.

“Perjalanan mesyuarat begitu baik sekali. Kehadiran perwakilan sangat memuaskan walaupun UMNO tidak lagi menjadi kerajaan utama hanya sebahagian, tetapi sokongan akar umbi amat kuat sekali.

“Kehadiran hampir 90 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah satu jumlah yang cukup baik semasa UMNO berada dalam keadaan sukar ini,” katanya.

Seterusnya, Mohd Zaidi berkata UMNO Bahagian Permatang Pauh menerima baik segala penjelasan dari pucuk pimpinan parti berhubung kerjasama yang wujud kini.

“Beberapa perkara telah disentuh oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (selaku perasmi mesyuarat perwakilan) terutama berkaitan keutamaan dan sokongan kita kepada Kerajaan Perpaduan berlandaskan kepada kelangsungan UMNO pada masa depan.

“Jadi segala percaturan, perkiraan yang dibuat pucuk pimpinan kita adalah untuk memastikan UMNO terus kekal relevan dalam memperjuangkan soal Melayu terutamanya,” katanya.

Jelasnya lagi, UMNO Bahagian Permatang Pauh juga telah mengangkat beberapa perkara penting yang harus menjadi keutamaan kerajaan.

“Dalam mesyuarat itu juga UMNO Bahagian Permatang Pauh telah memutuskan beberapa perkara yang sekarang ini menjadi isu-isu utama terutamanya tentang kenaikan kos sara hidup dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Dan juga pelaksanaan Titah Adendum terhadap bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Razak) yang kita berpendapat perlu dilaksanakan dengan secepat mungkin,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79