Puteri UMNO Komited Tampil Sebagai Barisan Hadapan Parti Hadapi PRN Sabah

PAPAR, 22 Julai – Puteri UMNO Sabah menegaskan komitmen mereka untuk tampil sebagai barisan hadapan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Menurut Ketuanya yang juga Ketua Puteri UMNO Papar, Ummie Nabilah Jamal, Puteri UMNO bukan sahaja bersedia menyahut seruan perjuangan, malah berazam untuk memimpin gerakan parti dengan semangat, strategi dan kesungguhan yang jitu.

“Kita tidak gentar kerana kita berjuang demi rakyat. Kita tidak undur kerana kita percaya pada kekuatan akar umbi. Ini zaman kita untuk mara dan memimpin,” tegas beliau.

Beliau juga menegaskan Puteri UMNO Papar juga melihat keperluan untuk memastikan kesinambungan kepimpinan wanita muda yang berwibawa dalam mendepani cabaran politik semasa. Justeru, cadangan agar had umur keahlian Puteri dilanjutkan daripada 35 tahun kepada 40 tahun turut disuarakan sebagai langkah memperkukuh saf perjuangan parti.

Ummie Nabilah menambah, pendekatan ini akan memberi peluang kepada lebih ramai wanita muda yang berpengalaman untuk terus berperanan aktif dan memimpin dalam struktur parti, selari dengan hasrat untuk menjadikan Puteri sebagai pemangkin kekuatan parti di peringkat akar umbi.

Dengan slogan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, katanya, Puteri UMNO kekal teguh dan bersedia menjadi nadi penggerak utama dalam usaha memperkukuh kekuatan UMNO di Sabah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79