Prosiding Komital Tun Mahathir Adalah Di Bawah Undang-Undang Subjudis – Peguam
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Prosiding komital yang sepatutnya berlangsung pada Selasa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah susulan daripada kenyataan media Tun Dr Mahathir di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Disember 2024, kata Peguam, Shahrul Fazli.
Apabila ditanya pemberita, beliau yang mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, asas kepada permohonan untuk perintah pengkomitan terhadap Tun Mahathir adalah aduan daripada anakguamnya berkenaan kenyataan dan tindakan Tun Mahathir yang telah melanggar prinsip perundangan subjudis serta menghina Mahkamah.
“Pada 9 Disember lalu, Tun Mahathir telah mengadakan satu sidang media sejurus selepas perbicaraan kes berkaitan samannya terhadap Datuk Seri Zahid mengenai isu nama ‘Mahathir a/l Iskandar Kutty’.
“Beliau telah melakukan perkara yang anakguam kami berpendirian adalah satu kesalahan di bawah undang-undang subjudis yang mengaibkan mahkamah. Aduan Datuk Seri Zahid untuk prosiding komital tersebut adalah disebabkan Tun Mahathir telah membuat kenyataan dan bertindak menunjukkan satu dokumen berbentuk ‘plaque’ yang mengandungi salinan gambar kad pengenalan lama beliau dan keluarga yang kononnya diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Plaque yang berisi salinan gambar kad pengenalan lama tersebut bukanlah satu bukti atau keterangan yang telah dikemukakan dan diterima oleh Mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung. Oleh sebab itu, ia tidak boleh dirujuk seolah-olah sebagai bukti sebenar dihadapan Yang Arif Hakim” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, dalam prosiding komital, Ahmad Zahid berpendirian bahawa kenyataan dan tindakan Tun Mahathir pada ketika itu telah memberi gambaran salah dan membenarkan umum menyalahtafsir kes yang sedang berjalan di mahkamah.
“Itu isu yang kita bawa daripada kenyataan Tun Mahathir dan rujukan beliau kepada plaque tersebut. Kita mendapati bahawa terdapat salah gambaran dan ia memberi ruang kepada umum untuk menyalah tafsir kes yang sedang berjalan di mahkamah. Ia juga menunjukkan seolah-olah mahkamah telah menerima keterangan nama dan identiti sebenar beliau sebagai Mahathir Bin Mohamad bersandarkan kepada plaque serta salinan kad pengenalan lama tersebut. Jadi, itulah aduan sebenar kita kepada mahkamah.
“Sepatutnya, permohonan komital ini didengar lebih awal tetapi ia telah ditunda sebanyak dua kali. Kalau diikutkan, hari ini Hakim akan mendengar dan putuskan sama ada beliau telah melakukan satu kesalahan menghina mahkamah yang mana jika disabitkan atau dikomitkan, boleh boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mempertimbangkan saranan daripada Mahkamah demi mengutamakan kepentingan rakyat dan memulihkan keharmonian dalam kalangan para pemimpin negara.
Peguam kepada Ahmad Zahid, Shahrul Fazli dan Peguam kepada Tun Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi menerusi satu kenyataan bersama berkata, kedua-dua pihak bersetuju dan menghentikan pertikaian peribadi di antara mereka di dalam prosiding Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, sebentar tadi. – UMNO Online