Pembangunan Melaka Inland Port Perkukuh Ekonomi Negeri – Ab Rauf

MELAKA, 22 Julai – Kerajaan Negeri Melaka komited menjadikan negeri ini sebagai hab logistik darat terpenting di wilayah selatan Semenanjung menerusi pembangunan Melaka Inland Port (Pelabuhan Darat Melaka) yang bakal dibangunkan di kawasan Taboh Naning, Alor Gajah.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata projek berimpak tinggi itu bakal melonjakkan daya saing Melaka dalam sektor logistik dan perindustrian negara apabila siap sepenuhnya kelak.

“Melaka Inland Port akan dibangunkan di atas tanah seluas 130.7 ekar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (MCORP). Projek ini akan memberi kemudahan logistik bersepadu kepada pelabur dalam dan luar negara, dengan sambungan terus kepada jaringan rel nasional,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning dalam Persidangan Kedua Penggal Keempat DUN Melaka di sini, semalam.

Menurut beliau, perjanjian bersama syarikat DS Rail Mobility Sdn Bhd telah dimeterai pada 13 Jun 2025 melibatkan kos pembangunan kasar sebanyak RM230.8 juta untuk Fasa 1, dan dijangka mula beroperasi pada Oktober 2026.

Katanya lagi, perancangan pelabuhan darat itu telah bermula sejak November 2024 dan kini berada di peringkat akhir penyediaan dokumen bagi kelulusan Kebenaran Merancang dan Kajian Impak Alam Sekitar daripada pihak berkuasa tempatan.

“Pelabuhan ini akan mengendalikan perkhidmatan logistik berasaskan rel termasuk pengangkutan kontena, gudang tertutup, pusat pemeriksaan kastam serta sistem automasi e-logistik yang moden dan cekap. Ia juga dibangunkan berteraskan pendekatan ESG serta patuh kepada piawaian keselamatan dan alam sekitar,” jelasnya.

Mengulas mengenai keperluan infrastruktur sokongan, Ab Rauf memaklumkan bahawa Kementerian Kerja Raya telah meluluskan projek menaiktaraf laluan dari Bulatan Tol Simpang Ampat ke Lebuh AMJ dengan peruntukan RM30 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Jelasnya, kerja-kerja termasuk pelebaran jalan kepada dua lorong, pembinaan perparitan, pengukuhan cerun dan pengambilan tanah dijangka bermula Ogos ini, manakala pelantikan kontraktor pada Disember 2025.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelabuhan darat ini tidak akan memberi kesan negatif kepada penduduk kampung berdekatan kerana pembinaan dijalankan sepenuhnya di atas tanah industri milik MCORP dan tidak melibatkan pemindahan rumah penduduk.

Ujar beliau, selain Melaka Inland Port, Kerajaan Negeri turut menandatangani beberapa pelaburan strategik lain antaranya pembangunan Hospital Putra 2 dengan kos RM520 juta hasil kerjasama MRCB Land Sdn Bhd dan PM Multilink Sdn Bhd, yang akan dibina di atas tanah seluas lima ekar milik MCORP dan menempatkan 300 katil serta 100 suite perunding.

Turut diumumkan ialah projek pembangunan German Technology Park (GTP) di Hang Tuah Jaya yang melibatkan keluasan 418.64 ekar dengan nilai pelaburan RM602.4 juta hasil kerjasama antara MCORP, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan lapan pemilik tanah tempatan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf menjelaskan bahawa pelabuhan darat itu berpotensi mewujudkan sekurang-kurangnya 290 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan rel, logistik, teknologi maklumat, automasi dan penyelenggaraan. Katanya, pihak pelabur telah menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi seperti UniKL, UTEM, UTHM serta institusi TVET di negeri ini bagi menyediakan tenaga kerja tempatan yang mencukupi.

“Syarikat DS Rail Mobility juga merupakan pemain utama dalam industri rel tempatan yang menghasilkan lokomotif rekaan Malaysia serta memiliki kontrak pengangkutan dengan syarikat besar seperti KTMB dan MSM Prai. Ini menunjukkan potensi dan komitmen mereka dalam menjayakan projek ini,” ujar beliau.

Dalam sesi yang sama, Ab Rauf turut menegaskan bahawa pembangunan Melaka Inland Port tidak bertujuan untuk bersaing dengan pelabuhan sedia ada di negeri jiran seperti Johor atau Negeri Sembilan, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap kepada rantaian logistik serantau.

“Kita tidak bersaing dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas atau Sendayan, sebaliknya kita melengkapkan ekosistem logistik negara. Kedudukan Melaka yang strategik berhampiran lebuh raya utama dan kawasan perindustrian menjadikan pelabuhan darat ini sebagai hub pengumpulan (consolidation hub) yang penting,” katanya.

Melalui pelaksanaan projek ini, beliau optimis Melaka akan muncul sebagai negeri logistik pintar dan berimpak tinggi yang bukan sahaja mampu menarik pelabur asing, malah menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat tempatan serta menyokong agenda pembangunan mampan dan hijau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79