Malaysia Ambil Langkah Tegas Bendung Penjajahan Sisa Plastik Asing – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi perhatian serius mengenai isu pergerakan sisa plastik rentas sempadan yang tidak terkawal atau tanpa kelulusan sah yang sering dilihat sebagai sejenis ‘penjajahan sisa’.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pendirian Malaysia adalah selaras dengan ketetapan Konvensyen Basel mengenai kawalan pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya dan pelupusannya.

“Pendirian Malaysia adalah selaras dengan ketetapan Konvensyen Basel mengenai kawalan pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya dan pelupusannya khususnya pindaan Konvensyen Basel yangberkuat kuasa pada Januari 2021.

“Pindaan ini menghendaki proses Prior Informed Consent (PIC) bagi pergerakan rentas sempadan sisa plastik. Ini adalah langkah kritikal bagi mencegah sisa plastik yang tidak diingini dieksport ke negara membangun dengan kapasiti pengurusan sisa yang terhad.

“Bermula pada 1 Julai 2025, pengimportan sisa plastik ke Malaysia telah diperketatkan dan dikawal selia oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan tertakluk kepada pengeluaran Certificate of Approval (COA) oleh SIRIM selaras dengan Jadual Keempat, dalam Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2025,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, menyatakan pendirian Malaysia dalam forum antarabangsa untuk menangani isu pemindahan sisa plastik dari negara maju ke negara membangun atau penjajahan sisa.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata MITI juga membuat ketetapan mengenai pendirian Malaysia bagi Customs (Prohibition of Imports) (Amendment) Order 2025 yang akan dikuatkuasakan melalui SIRIM Berhad.

“Malaysia tidak bercadang untuk mengenakan sekatan eksport sisa plastik ke atas mana-mana negara secara khusus. Malah, Kerajaan telah bersetuju supaya import sisa plastik untuk keperluan industri tempatan diteruskan tertakluk kepada pelaksanaan mekanisme pengimportan yang lebih sistematik dan penilaian saksama.

“Berkuat kuasa 1 Julai 2025, semua pengimportan sisa plastik dibawah kod tarif HS 39.15 adalah tertakluk kepada kelulusan Certificate of Approval (COA) yang dikeluarkan oleh SIRIM QAS, sebuah agensi dibawah MITI selaras dengan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2025.

“Ini adalah bagi menggantikan keperluan syarat Approved Permit (AP) di bawah Jabatan Pengurusan Sisa PepejalNegara (JPSPN) sebelum ini. Pengukuhan mekanisme pengimportan ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang dipersetujui pada 8 Januari 2025 bertujuan menyelaras kawalan import bagi kesemua kategori sisa industri seperti sisa plastik, besi dan kertas di bawah satu bumbung iaitu SIRIM QAS,” ujarnya.

Seterus kata Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa itu, antara penambahbaikan kawalan import adalah membenarkan import sisa plastik dari negara yang telah meratifikasi Control of Transboundary Movements of Hazardous Wastes and their Disposal di bawah Konvensyen Basel.

“Penambahbaikan ini membolehkan Malaysia menghantar semula import sisa yang tidak mematuhi syarat ke negara asal dengan segala kos penghantaran balik akan ditanggung sepenuhnyaoleh pihak pengilang melalui Jaminan Bank. Malaysia meratifikasi dan menjadi ahli kepada Konvensyen Basel sejak dari tahun 1993.

“Pendekatan ini adalah bersifat holistik dan tidak menyasarkan mana-mana negara secara khusus. Sebaliknya, ia bertujuan untuk memastikan pengimportan sisa plastik dan lain-lain sisa untuk tujuan pengeluaran dijalankan dengan lebih telus,” jelasnya.

Ujarnya lagi, ia seiring dengan komitmen Negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih atau net-zero emissions 2050 dan dasar-dasar berkaitan termasuk New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 dan Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal Malaysia 2025-2035. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79