Kerajaan Komited Perkasa Perlindungan Pemberi Maklumat – Azalina

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan kerajaan komited dalam memperkukuhkan perlindungan kepada pemberi maklumat sebagai sebahagian daripada usaha memerangi rasuah dan meningkatkan integriti dalam sektor awam serta swasta.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, setelah lebih satu dekad berkuat kuasa, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) masih mempunyai kelemahan yang boleh ditambah baik bagi memastikan keberkesanannya.

“Statistik menunjukkan bahawa dari tahun 2011 hingga 2023, sebanyak 74,614 aduan berkaitan Kelakuan Tidak Wajar telah diterima dan disiasat, manakala 1139 orang telah diiktiraf sebagai pemberi maklumat dan diberi perlindungan.

“Sebagai rujukan, beberapa negara telah melaksanakan mekanisme perlindungan pemberi maklumat yang lebih menyeluruh bagi memperkukuh keberkesanan pelaksanaannya.

“Aspek pendedahan perkara kerahsiaan, pendekatan global di negara-negara seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand jelas menunjukkan bahawa pertimbangan kepentingan awam menjadi asas utama dalam membenarkan pendedahan maklumat sulit atau yang tertakluk kepada sekatan kerahsiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat di Dewan Rakyat, hari ini.

Ujarnya, Undang-undang di negara-negara ini memperuntukkan bahawa sekiranya pendedahan dibuat secara jujur dan demi kepentingan awam, ia boleh diiktiraf serta dilindungi, walaupun melibatkan maklumat yang biasanya terhad atau dilindungi oleh kontrak kerahsiaan.

“Amalan ini jelas menggambarkan bahawa perlindungan terhadap pemberi maklumat mestilah mengatasi sekatan kerahsiaan apabila wujud kepentingan awam yang signifikan, selari dengan amalan terbaik global demi menggalakkan lebih ramai tampil membuat pendedahan tanpa rasa takut terhadap tindakan undang-undang.

“Dari sudut mekanisme penarikan balik perlindungan, New Zealand membenarkan perlindungan ditarik balik sekiranya pendedahan dibuat dengan niat jahat atau melibatkan maklumat palsu, sementara Jepun pula menetapkan bahawa perlindungan boleh dibatalkan jika pendedahan dilakukan untuk mendapat keuntungan peribadi atau bertujuan merosakkan pihak lain.

“Berdasarkan amalan-amalan terbaik global ini, Malaysia perlu mengambil langkah progresif dan menyeluruh untuk memperkukuh sistem perlindungan pemberi maklumat, sekali gus mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif agar lebih ramai individu berani tampil melaporkan salah laku demi kepentingan negara dan masyarakat keseluruhannya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, kata Azalina lagi, cadangan Rang Undang-Undang ini mempunyai enam (6) fasal sebagaimana yang dinyatakan dalam naskhah biru, ‘blue bill’ yang telah dibuat Bacaan Pertama pada 6 Mac 2025.

“Fasal satu (1) memperuntukkan tajuk ringkas dan tarikh kuat kuasa Akta. Fasal dua (2) meminda seksyen 2 Akta 711 dengan memasukkan tafsiran baharu bagi ‘Menteri’, yang merujuk kepada Menteri yang dipertanggungjawabkan bagi undang-undang ini.

“Fasal tiga (3) bertujuan untuk mengadakan peruntukan menubuhkan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat, dengan Pengerusi dan anggotanya dilantik oleh Menteri. Jawatankuasa ini akan berperanan memastikan penyelarasan dan pemantauan keseluruhan pemakaian Akta ini dengan lebih sistematik.

“Fasal empat (4) mencadangkan pemotongan proviso dalam seksyen 6(1) Akta 711. Melalui pindaan ini, peruntukan seksyen 6(1) tidak lagi menetapkan had atau limitasi khusus terhadap pendedahan kelakuan tidak wajar,” jelasnya lagi.

Tambah beliau lagi, fasal lima adalah meminda seksyen 7(30 bagi peruntukkan perlindungan fizikal pada pemberi maklumat.

“Fasal lima (5) pula bertujuan untuk meminda seksyen 7(3) untuk memperuntukkan perlindungan fizikal kepada pemberi maklumat melalui Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696].

“Fasal yang keenam (6) adalah berkenaan pembatalan perlindungan pemberi maklumat, Fasal ini akan dipinda dalam Jawatankuasa dan maklumat yang terperinci akan dimaklumkan kepada Jawatankuasa kelak,” tambahnya lagi.

Ujarnya lagi, perincian pindaan adalah sebagaimana di teks pindaan yang telah pun dibentangkan di atas meja ahli-ahli Yang Berhormat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79