Jangan Luntur Semangat, Pastikan Kemenangan Dua DUN Di Pagoh – Ismail Mohamed

PAGOH, 22 Julai – UMNO Bahagian Pagoh terus memperkukuhkan gerak kerja jentera parti dalam menghadapi cabaran pilihan raya akan datang dengan matlamat utama untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir serta merampas semula DUN Bukit Kepong.

Ketuanya, Ismail Mohamed berkata walaupun berdepan cabaran besar, jentera parti perlu kekal fokus dan menyusun gerak kerja bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

“Saya yakin di Pagoh kali ini DUN Bukit Pasir kena kekalkan dan Bukit Kepong kena rampas kembali. Kita jangan luntur semangat walaupun tahu akan menempuh satu cabaran yang besar, kita kepung pengundi-pengundi yang bersama dengan kita sampai hari mengundi dan insya-Allah, akan menang di kedua-dua kerusi tersebut.

“Kedua-dua tempat yang kalah ini Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz telah melantik penyelaras DUN yang berpotensi untuk jadi calon di DUN tersebut. Kita mahukan anak tempatan menjadi calon dan harap mereka bekerja bersungguh-sungguh.

“Kita mahukan kemenangan di kedua-dua DUN tersebut. Apabila menang nanti bolehlah mohon kerusi Parlimen, paling penting menang besar di DUN dan jentera parti harus menunjukkan kesungguhan untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya ketika berucap di Dewan UMNO Bahagian Pagoh, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib; Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkarnain Kamisan; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Md Israq Abdullah dan ahli parti empat peringkat.

Seterusnya kata Ismail, setiap strategi yang dirancang perlu berlandaskan kebijaksanaan dan kepentingan jangka panjang.

“Strategi UMNO/BN adalah hendak menang pilihan raya dan menjadi parti yang dominan dalam kerajaan… bukannya hendak menjadi kerajaan ‘menempel’.

“Kita kena fikir panjang strategi-strategi yang nak dibuat dan apabila sudah sampai masanya tentulah kebijaksanaan pemimpin yang menentukan, mana yang elok dan mana yang tidak elok.

“Apabila berlapang dada, orang Pagoh akan kuat dan menguatkan lagi UMNO seluruh negara. Percayalah… UMNO/BN akan menjadi parti dominan dan ini adalah jasa dan pengorbanan rakyat Pagoh juga,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79