UMNO Ranau Perkukuh Hubungan Akar Umbi, Terus Santuni Masyarakat

RANAU, 21 Julai – Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat menggerakkan seluruh jentera parti dalam satu program menyantuni akar umbi, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh hubungan antara kepimpinan UMNO dan masyarakat setempat.

Ujarnya, program dimulakan dengan lawatan ziarah ke tempat penyimpanan padi milik Aminah Balinsai di Kampung Libang, yang mencerminkan keprihatinan parti terhadap kegiatan ekonomi dan sumber rezeki masyarakat luar bandar.

Rombongan terbabit kemudiannya meneruskan kunjungan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Paginatan dan PDM Matupang.

“Di sana, sesi ramah mesra bersama penduduk telah diadakan, bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat terkini parti, malah sebagai platform mendengar secara langsung pandangan dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Turut hadir dalam rombongan ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ranau, James Jaibi, bersama barisan kepimpinan AJK Bahagian.

Program ini turut disertai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Ranau, Md. Nadzmin Kamin bersama rombongan pemuda; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Ranau, Rosnati Abdul Rahim jentera wanita; serta barisan AJK Puteri UMNO Bahagian Ranau.
“Kehadiran menyeluruh dari ketiga-tiga pergerakan sayap parti ini membuktikan semangat muafakat yang utuh dalam memperjuangkan agenda rakyat dan memperkasakan UMNO di peringkat akar umbi.”

Jelasnya, program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai komitmen UMNO Ranau dalam menjadikan parti terus relevan di hati rakyat serta bersedia menghadapi sebarang cabaran politik semasa. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79