UMNO Mampu Bangkit Dengan Kesatuan Fikrah, Ketulusan Tekad – Ibnu Rasyeed
KUALA LUMPUR, 21 Julai – UMNO mampu bangkit semula sebagai sebuah parti yang kukuh dan diyakini rakyat hanya dengan kesatuan fikrah serta ketulusan tekad, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Ibnu Rasyeed Mat Isa.
Ujarnya, mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian yang sedang berlangsung pada ketika ini menjadi wadah strategik untuk para pendukung parti memperbaharui tekad dalam usaha membina semula kekuatan parti.
“Mesyuarat perwakilan tahunan ini bukan sekadar acara rutin, tetapi wadah strategik untuk ahli-ahli menilai keberkesanan gerak kerja, memperbaharui tekad, dan membina semula kekuatan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa.
“Ia adalah tempat kita menyuarakan pandangan, menilai pencapaian, memperkukuh semangat dan menetapkan pergerakan lebih mantap dalam perjuangan yang ikhlas demi agama, bangsa serta tanah air.
“Hanya dengan kesatuan fikrah dan ketulusan tekad, kita mampu bangkit sebagai parti yang kukuh dan diyakini rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Pada Ahad media melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang.
Ketika menyampaikan ucapan, Dr Asyraf menasihati semua pihak dalam parti agar menghentikan budaya politik sate supaya UMNO kembali kuat dan menang dalam pilihan raya.
Ujarnya, politik sate adalah analogi yang tepat kepada sikap mengadu domba dan batu api kerana adanya tukang cucuk, kipas, bakar dan balik-membalik. Sebaliknya, beliau menyeru ahli dan para perwakilan untuk bersatu dan kembali ke landasan perjuangan.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie dan seluruh kepimpinan bahagian empat peringkat. – UMNO Online