Tujuan Kita Untuk Rakyat… Pertahan Melayu Dan Islam – Ketua UMNO Tambun

TAMBUN, 21 Julai – Ketua UMNO bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata pasca pilihan raya lalu menyaksikan UMNO diuji dengan pelbagai tohmahan dan fitnah, sehingga menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau dalam keadaan sedemikian, UMNO tidak pernah menyimpang daripada asas perjuangannya iaitu berkhidmat untuk rakyat, dan mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan negara.

“Musuh memang berhajat untuk menghilangkan UMNO dari arus politik tanah air. Tetapi kita bangkit semula kerana pendokong kita tetap setia dan menjalankan amanah sebaiknya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Tambun yang dirasmikan Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, semalam. Turut serta pimpinan UMNO dan perwakilan setempat yang lain.

Aminudin seterusnya mengakui bahawa situasi sekarang tidak seindah dahulu, tetapi keyakinan terhadap hala tuju parti tetap utuh.

Begitu juga kata beliau keberadaan UMNO bersama Kerajaan Perpaduan hari ini memberi manfaat kepada masyarat lain.

“Ada orang tanya apa kita dapat dalam kerajaan… kita tanya balik apa pula kita dapat jika bersama pembangkang? Bukankah dengan berada dalam kerajaan, UMNO Tambun masih mampu memberikan khidmat kepada rakyat. Itulah matlamat sebenar,” ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan ahli parti bahawa keberadaan dalam Kerajaan Perpaduan adalah demi mempertahankan Melayu dan Islam, serta memastikan rakyat terus menerima manfaat pembangunan.

Beliau turut menyeru semua ahli agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sengaja mahu memecah belahkan parti melalui tuduhan dan naratif palsu.

“Jangan kita dengar cakap-cakap mereka yang mahu melihat UMNO berpecah. Jangan kita sesama sendiri memburukkan parti. Sebaliknya, marilah kita sama-sama membina semula parti ke arah kecemerlangan,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79