Radu Tetap Radu: Awang Aslee Yakin Tawan Semula DUN Kuala Penyu Dan Klias Dalam PRN-17

MENUMBOK, 21 Julai – “Dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua jentera, saya yakin dan percaya Dun Kuala Penyu dan Dun Klias mampu kita tawan kembali dalam PRN ke-17. Radu tetap Radu!”

Demikian keyakinan yang disuarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, ketika turun padang meninjau pelaksanaan ‘Dry Run’ 2.0 di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) sekitar dua kawasan tersebut.

Menurut beliau, pelaksanaan ‘Dry Run’ 2.0 adalah satu inisiatif penting bagi menguji kesiapsiagaan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Turut bersama dalam tinjauan itu ialah barisan kepimpinan UMNO Bahagian Beaufort yang menunjukkan kesepaduan dan komitmen padu.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada seluruh jentera JBS serta Jawatankuasa Cawangan di keempat-empat peringkat atas komitmen luar biasa mereka.
Juga kepada barisan kepimpinan UMNO Bahagian yang turut hadir ke lapangan iaitu satu lambang kesatuan dan kerja berpasukan yang amat saya hargai,” katanya.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Bahagian, Jaludin Kadir; Naib Ketua Bahagian, Md Rashid Mathon; Ketua Wanita, Juriffah Safflie; Ketua Pemuda, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya; Ketua Puteri, Munira Sarrie; Ketua Penerangan, Awang Damit Jion dan Setiausaha Bahagian, Abd Rahman Mohd Taib.

Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Beaufort, Osin Jilon, juga turut menyumbang tenaga dalam pemantauan ‘Dry Run’ di kawasan Dun Klias.

“Kita akan terus mara. Radu tetap Radu!” tegas beliau lagi, membangkitkan semangat perjuangan dalam kalangan jentera UMNO Beaufort menjelang PRN-17.

Sebelum itu, Awang Aslee turut menyantuni penduduk setempat di Kampung Tanjung Aru dan Kampung Tepi Laut, termasuk menyampaikan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Raihmah @ Ramiah Matusin serta menghadiri majlis perkahwinan anak kepada Awang Damit Puteh.

Seterusnya, beliau menghadiri majlis perkahwinan anak kepada Awang Damit Puteh di Kampung Tepi Laut.

“Semoga pasangan pengantin sentiasa diberkati dan dikurniakan kebahagiaan serta keberkatan dalam membina mahligai rumah tangga. Tahniah diucapkam kepada Awang Damit Puteh kerana menerima menantu baru dalam keluarga,” katanya.

Ujarnya, komitmen ini adalah rutin dalam mendekati rakyat serta memastikan gerak kerja parti berjalan lancar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79