Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Akan Dibentang Pada Mesyuarat Kali Ini – Azalina
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Bacaan kali kedua dan ketiga pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat akan dibentangkan pada sidang mesyuarat Parlimen kali ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, pindaan tersebut merupakan Fasa 1 dalam inisiatif memperbaharui dan mengukuhkan undang-undang tadbir urus yang baik dalam sistem perundangan negara.
“Pindaan kepada akta ini telah dibacakan buat kali pertama pada 6 Mac 2025. Seterusnya, ia akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga pada mesyuarat kali ini. Pindaan ini merupakan Fasa 1 dalam inisiatif memperbaharui dan mengukuhkan undang-undang tadbir urus yang baik dalam sistem perundangan negara.
“Khusus untuk memperkasakan perlindungan kepada pemberi maklumat dalam kes-kes berprofil tinggi, beberapa intipati cadangan telah diperuntukkan di dalam pindaan ini. Antaranya, cadangan untuk menubuhkan suatu Jawatankuasa
Perlindungan Pemberi Maklumat yang berperanan menyelia pelaksanaan Akta ini oleh agensi penguatkuasaan, mengumpulkan statistik dan data berkaitan pendedahan serta aduan yang dibuat di bawah Akta 711.
“Pindaan Fasa 1 ini juga termasuk cadangan penambahbaikan pada Seksyen 6 supaya perlindungan kepada pemberi maklumat tetap sah, meskipun pendedahan tersebut melibatkan peruntukan kerahsiaan atau tatacara khusus di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Ser Ir Wee Ka Siong.
Ujarnya, pindaan tersebut turut tidak mengehadkan atau menjejaskan sebarang perlindungan lain yang diberikan oleh undang-undang bertulis.
“Selain itu, pindaan turut memperluaskan perlindungan kepada pemberi maklumat di bawah seksyen 7, dimana rujukan khusus kepada Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] dalam subseksyen 7(3) bertujuan untuk memperjelas bahawa perlindungan kepada pemberi maklumat di bawah Akta 711 ini tidak mengehadkan atau menjejaskan sebarang perlindungan lain yang diberikan oleh undang-undang bertulis, termasuk perlindungan komprehensif di bawah Akta Perlindungan Saksi.
“ Ini membolehkan pemberi maklumat yang menghadapi ancaman keselamatan untuk dipertimbangkan bagi perlindungan tambahan seperti pemindahan, identiti baharu atau langkah-langkah keselamatan lain di bawah Akta 696, selaras dengan matlamat untuk melindungi mereka daripada sebarang risiko akibat pendedahan yang dibuat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Madani untuk memastikan keselamatan pemberi maklumat dijamin di bawah undang-undang.
“Saya percaya, untuk merealisasikan hasrat Malaysia Madani bagi meningkatkan integriti nasional, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan keselamatan pemberi maklumat dijamin di bawah undang-undang.
“Untuk menjunjung inisiatif tersebut, dari segi kerahsiaan maklumat, Seksyen 8 Akta 711 akan terus terpakai secara automatik kepada semua individu yang diiktiraf sebagai pemberi maklumat di bawah akta ini.
“Identiti dan maklumat berkaitan pemberi maklumat dilindungi dan tidak boleh didedahkan tanpa kebenaran, kecuali untuk tujuan siasatan atau prosiding undang-undang, seperti yang dinyatakan secara jelas dalam akta,” katanya lagi. – UMNO Online