Kepengerusian ASEAN: Malaysia Komited Main Peranan Proaktif – Mohamad
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Malaysia kekal komited dalam memainkan peranan sebagai sebuah negara yang proaktif, menyumbang secara positif terhadap keamanan dan kestabilan Indo-Pasifik.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar Luar Malaysia pasca-ASEAN 2025 akan terus memberi fokus untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dan antarabangsa berlandaskan prinsip kedaulatan, kebebasan, berkecuali, berobjektifkan pembangunan serantau serta global yang mampan.
“Selaras itu, visi ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, atau ‘ASEAN 2045: Our Shared Future’, yang telah diterima pakai dan diluluskan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lalu akan bertindak sebagai rujukan ASEAN bagi dua dekad akan datang, dalam memperkukuhkan agenda pembangunan komuniti serantau sebagai persiapan memasuki fasa integrasi masa hadapan.
“Visi ASEAN 2045 menggariskan pendekatan strategik yang menyeluruh dan seimbang merangkumi ketiga-tiga tonggak untuk memastikan kepentingan ASEAN dipelihara. Dalam hal ini Malaysia menyasarkan ASEAN menjadi sebuah komuniti yang lebih teguh, inklusif dan mampan serta berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi, menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Malaysia akan mempergiat aktiviti diplomasi seperti memperkukuh ASEAN sebagai pemegang taruh utama Indo-Pasifik.
“Untuk makluman Dewan yang Mulia ini, landskap Indo-Pasifik kian berubah dan semakin mencabar dengan persaingan geopolitik dan geoekonomi yang melibatkan kuasa-kuasa besar.
“Sehubungan ini, Malaysia akan kekal komited dalam memainkan peranan sebagai sebuah negara yang proaktif dalam menyumbang secara positif terhadap keamanan dan kestabilan Indo-Pasifik, selaras dengan prinsip bebas, berkecuali, Kepusatan ASEAN, atau dengan izin, ASEAN Centrality, yang telah menjadi asas kepada blok ASEAN sejak sekian lama.
“Ke arah ini, Malaysia akan mempergiatkan aktiviti diplomasi seperti; memperkukuh ASEAN sebagai pemegang taruh utama Indo-Pasifik; menyesuaikan dasar luar kepada realiti geopolitik baharu; meningkatkan keupayaan diplomasi ekonomi dan keselamatan; memperkasa kerjasama Selatan-Selatan; dan mengutamakan diplomasi kemanusiaan serta pembangunan mapan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa keterlibatan Malaysia secara konstruktif dan inklusif merupakan kunci dalam mengurus perbezaan dan mengelakkan ketegangan.
“Malaysia juga menekankan kepentingan pembinaan kepercayaan secara strategik melalui dialog, budi bicara dan diplomasi terangkum. Malaysia percaya bahawa keterlibatan secara konstruktif dan inklusif merupakan kunci dalam mengurus perbezaan, mengelakkan ketegangan, serta memelihara keamanan serantau dan antarabangsa.
“Pendekatan ini adalah selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang menekankan tanggungjawab bersama untuk membentuk rantau ASEAN yang mantap,” katanya lagi. – UMNO Online