Anak Muda Mahu Politik Penyelesaian, Bukan Retorik Atau Perpecahan

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus, Hafiz Aziz menyifatkan anak muda ketika ini hanya mahukan pemimpin yang komited bekerja demi rakyat.

Beliau berkata ini kerana mereka mahukan politik yang membawa penyelesaian dan kemajuan, bukan retorik atau perpecahan.

“Hari ini majoriti pengundi di Malaysia adalah golongan muda. Mereka bukan sahaja celik teknologi, tapi juga celik politik.

“Mereka tidak kisah siapa parti, siapa tokoh, siapa keturunan.

“Mereka mahu pemimpin yang bekerja, bukan yang hanya bijak berhujah. Mereka mahu pemimpin yang turun padang, bukan hanya naik pentas. Mereka mahu politik yang membina, bukan yang memecah,” katanya.

Hafiz berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di Quinara Al Safir Resort di Kuala Terengganu.

Sementara itu kata beliau, UMNO kini berada dalam fasa muhasabah dan kebangkitan semula selepas melalui pelbagai cabaran.

Menurut proses pemulihan ini wajar dimanfaatkan sebaiknya dalam memperkukuh akar umbi, membersihkan imej dan memperkenalkan kepimpinan yang lebih segar dan berani.

“UMNO kini bukan lagi parti pemerintah seperti dahulu. Kita sudah melalui fasa kejatuhan, diuji daripada hilang kerajaan, kalah pilihan raya, fitnah, persepsi yang tidak memihak.

“Tetapi saya percaya UMNO belum tewas. Kita hanya tersasar dari jalan asal. Kita hanya perlu kembali kepada asas perjuangan, bersihkan imej, bangkitkan semula semangat akar umbi, dan tampilkan barisan kepimpinan yang segar, bersih dan berani.

“Kalau kita ulang kesilapan yang sama, rakyat tidak akan beri peluang kedua tapi kalau kita berani berubah, saya yakin UMNO boleh kembali bangkit,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79