Akta Kredit Pengguna: Pemindahan Fungsi Kawal Selia Aktiviti Kredit Pengguna Perlu Digerakkan Segera – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan perlu memastikan pemindahan fungsi kawal selia aktiviti kredit pengguna yang berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) digerakkan segera kepada Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, seramai 34,016 orang telah diisytiharkan bankrap dan berada dalam lingkungan usia 35 hingga 44 tahun.

”Lebihan keberhutangan isi rumah adalah satu perkara serius yang perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan dan kita semua. Jabatan Insolvensi menunjukkan sejak tahun 2019 hingga 2023 sebanyak 34,016 orang diisytiharkan bankrap dan daripada jumlah tersebut majoriti yang paling ramai individu berusia 35 hingga 44 tahun (13, 073 orang).

“Pinjaman peribadi (personal loan) adalah punca utama keberhutangan dalam kes kebankrapan iaitu sebanyak 49.22 peratus berbanding jenis pinjaman kewangan yang lain. Saya ucapkan tahniah kepada pihak kerajaan dengan bacaan kali kedua Akta Kredit Pengguna ini sebentar tadi.

“Kerajaan telah menzahirkan komitmen berterusan untuk merungkaikan persoalan apakah langkah dan pendekatan serta penggubalan undang-undang yang relevan untuk mengharmonikan industri kredit ini dari sudut pengguna dan pemberi kredit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Jelasnya, Laporan Separuh Kedua Tahun 2024 (Q2 2024) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan agregat nisbah hutang isi rumah kepada KDNK meningkat kepada 84.2 peratus.

“Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan : Q2 2024 oleh BNM menunjukkan agregat nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 84.2 peratus menunjukkan bahawa hutang isi rumah rakyat kita berada pada tahap yang membimbangkan.

“Data oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), melalui Laporan Dwitahunan Khas AKK 2023-2024 mendedahkan terdapat lebih daripada 112,000 permohonan kes yang diluluskan antara tahun 2023 hingga 2024. Bagaimana dengan permohonan yang tidak diluluskan? Puluhan ribu rakyat kita setiap tahun terpaksa mengetuk pintu AKPK, meminta bantuan.

“Jika mereka ini semua sudah terbeban dengan kemudahan kredit yang sedia ada dan diisytiharkan muflis, maka mereka akan beralih ke pilihan yang lebih berbahaya iaitu pinjaman wang tidak berlesen (Ah Long). Adakah akta ini akan mengekang aktiviti Ah Long sehingga ke akar umbi?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa pihak kerajaan sebagai penggubal dasar perlu bertindak segera agar generasi yang hilang harapan tidak terus dilahirkan.

“Kita sebagai penggubal dasar mesti bertindak segera. Jika tidak, kita akan melahirkan satu generasi yang hilang harapan (hopeless generation). Generasi yang percaya, tidak kira sekuat mana mereka bekerja, mereka tidak akan bebas daripada belenggu hutang.

“Meluluskan Rang Undang-Undang ini akan menjadi sia-sia, jika jentera pelaksanaannya lemah, lambat, dan tidak bersepadu. Oleh sebab itu, saya memohon agar Kerajaan memastikan, pemindahan fungsi kawal selia aktiviti kredit pengguna yang berada di bawah KPDN, KPKT, SKMM dan SC mesti digerakkan segera kepada Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) ini dilaksanakan dengan kadar segera dan tanpa kompromi.

“Ini bukan masanya untuk mempertahankan portfolio atau kuasa sedia ada. Ini adalah masanya untuk kita melakukan apa yang terbaik untuk isi rumah B40 dan M40 yang terbeban dengan hutang. Maka secara tidak langsung Tuan Yang di-Pertua, kita akan dapat membaik pulih ‘disposable income’ rakyat dan seterusnya meningkatkan lagi kebolehupayaan belanja domestik yang memberi pertumbuhan KDNK negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79