UMNO Perlu Rampas Semula Pagoh dan Bukit Kepong – Wan Rosdy
PAGOH, 20 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa parti itu perlu merampas semula kerusi Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong yang tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, walaupun cabaran politik semakin kompleks, tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya semua ahli parti bekerja keras dan kekal bersemangat.
“Kita wajib rampas semula kerusi Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong yang tewas pada PRU lalu. Dalam politik, tidak ada yang mustahil. Apa yang penting, ahli parti harus kerja kuat dan bersemangat kental.
“Kalau kita nak menang buat cara nak menang, tolak ansur, berkorban… kerana yang menang bukan individu tersebut tetapi parti UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kita kena buka minda dan beri kesedaran pada ahli-ahli serta penyokong UMNO.
“Pengalaman lepas apabila pengumuman calon diumumkan, sudah pasti ada masalah yang hendak diselesaikan. Sekiranya ia tidak ada masalah di Pagoh ini dan sebut nama calon, insya-Allah… Parlimen Pagoh dan Bukit Kepong boleh ditawan pada bila-bila masa, sebab rakyat dibawah sememangnya rindu pada UMNO,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pagoh, di Dewan UMNO Pagoh.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib, Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkarnain Kamisan, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Md Israq Abdullah dan ahli parti empat peringkat.
Mengulas lanjut, kata Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, kawasan Pagoh kini sudah mempunyai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikenali dan diyakini, justeru persiapan rapi termasuk pemilihan calon harus diperkemas awal.
“Di Pagoh ini sudah ada penyelaras DUN. Sampai masa nanti ketika musim pilihan raya, senang nak jual calon kita dan yang penting jangan ada masalah dalaman.
“Masih ada segelintir yang menganggap apabila calon yang diketengahkan oleh UMNO/BN, mereka (jentera) tak suka dan tidak mahu membantu… yang kita nak menangkan adalah calon UMNO, bekerja bersungguh-sungguh, Insya-Allah… UMNO/BN boleh menang di Pagoh ini,” katanya lagi.
Seterusnya kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jelai itu berkata bahawa kekuatan parti bergantung kepada kesungguhan dan penyusunan jentera yang mantap.
“Ahli parti harus kerja kuat, jentera harus mantap, padu, tersusun dan teratur. Wanita UMNO teruskan bekerja dan turun padang melakukan jalinan rakyat. Setakat ini Wanita UMNO konsisten menjalankan tugas yang diberikan.
“Pemuda UMNO harus teruskan jadi suara kepada anak-anak muda. Suarakan keperluan dan kehendak mereka kepada pucuk pimpinan. Puteri UMNO dengan gaya tersendiri dan dekati wanita muda serta beritahu perjuangan UMNO,” ujarnya. – UMNO Online