UMNO Tampin Berjaya Anjur Persidangan, Fokus Kukuhkan Parlimen Dan DUN – Jalaluddin Alias
TAMPIN, 20 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (BPUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menzahirkan penghargaan kepada seluruh cawangan UMNO Bahagian Tampin atas kejayaan menganjurkan persidangan cawangan melibatkan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri.
Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kejayaan itu menunjukkan kekuatan, solidariti dan kesatuan di akar umbi yang perlu diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada UMNO Bahagian Tampin kerana berjaya menganjurkan siri mesyuarat di peringkat semua cawangan untuk Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri masing-masing.
“Kekalkan solidariti, kekuatan… dan apakah naratif serta hala tuju parti selepas ini. Kita kena tubuhkan pasukan untuk mengurus dan pertahankan Parlimen Tampin. Tubuhkan pasukan yang komited untuk memenangkan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas. Kita juga perlu pertahankan DUN Gemencheh untuk hadapi PRU akan datang.
“Bukan sahaja UMNO menjurus kepada pilihan raya tetapi matlamat parti ini untuk ‘regain’, mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada perjuangan bahawa UMNO adalah satu-satunya parti untuk kebergantungan rakyat dahulu, kini dan selamanya,” katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tampin.
Turut hadir Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lassim, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mustapa Nagoor, Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli, ADUN-ADUN Kerajaan Negeri Sembilan dan pemimpin bahagian empat peringkat.
Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata, usaha menyeluruh ini penting bagi memastikan kelangsungan UMNO khususnya dalam mempertahankan kerusi Parlimen Tampin dan DUN di kawasan berkenaan.
“UMNO akan menambah pasukan yang akan disusun oleh akar umbi dan tambahan dari badan bukan kerajaan (NGO), ketua-ketua kerajaan termasuk pemimpin-pemimpin dari generasi muda. Ia akan membuahkan hasil yang lebih dan khususnya pada UMNO terutamanya dalam pertahankan Parlimen Tampin dan DUN di kawasan ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata Ahli Parlimen Jelebu itu lagi, sikap saling menyerang dan longgarnya semangat setiakawan dalam parti menyebabkan beberapa kerusi Parlimen di negeri tersebut gagal dipertahankan.
“Pada PRU ke-14, UMNO kalah kerana kutukan dan kritikan kepada Presiden UMNO yang dilihat melampaui batasan. Kita kalah di beberapa kerusi kerana solidariti ahli parti dari hari ke hari semakin longgar. Oleh sebab itu, institusi Presiden harus dipertahankan dan perjuangan di semua peringkat kepimpinan.
“Sekiranya setiakawan itu tidak diterjemahkan, mana mungkin kerusi Parlimen Tampin yang kita kalah pada PRU ke-14 dapat dirampas semula. Ini semua atas solidariti kepimpinan di bahagian. Institusi Presiden harus kita baja dan perkukuhkan dari semasa ke semasa.
“…yang penting adalah menjaga institusi kepimpinan parti. Dan perkukuh semangat setiakawan dalam kepimpinan bahagian melibatkan semua ahli,” ujarnya.
Tambah ADUN Pertang, BPUN Sembilan dan UMNO bahagian-bahagian akan tetap kekal bersama dengan perjuangan Presiden. – UMNO Online