Politik Khidmat Sahaja Tidak Mencukupi, UMNO Perlu Strategi Menang Pilihan Raya – Norliza
SUNGAI SIPUT, 20 Julai – Politik khidmat dan santuni rakyat yang menjadi tradisi UMNO kini tidak lagi mencukupi untuk parti memenangi pilihan raya, ujar Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Katanya, pengalaman berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan kesan yang parti hadapi memberi pengajaran bahawa politik strategi amat penting terutama dalam penggunaan media sosial.
“Kita perlu realistik, dalam perjuangan perlu ada strategi sebab kita perlu masa untuk bangkit kembali dan dominan. Saya sangat yakin kita akan kembali menjadi kerajaan yang dominan.
“Sewaktu UMNO memimpin negara ini kita dapat hidup dalam keadaan tenang, harmoni dan selesa. Sebab apa? Sebab pemimpin UMNO pandai mentadbir dan memimpin.
“Kita amat memikirkan untuk rakyat sampai terlalu yakin… biarkan mereka (pihak lawan) fitnah melalui media sosial. Itu menjadikan kita sudah belajar pentingnya algoritma media sosial dalam masa sekarang. Kita ada jentera yang ramai dan bagaimana hendak gunakan politik khidmat yang mesti ada strategi dalam media sosial,“ katanya.
Norliza berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sungai Siput di Pusat Konvensyen Tun Samy Velu di sini, Sabtu.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput merangkap Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun, Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Siput Datuk Zaiton Ab Rahman, beberapa Exco Wanita UMNO Malaysia dan Ketua Wanita UMNO bahagian.
Katanya lagi, UMNO kini kembali bangkit dengan mencapai kemenangan dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Syukur Alhamdulillah, kita belajar dari kekurangan dan mula bangkit. Bermula di (DUN) Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning, kita dapat kemenangan yang begitu membanggakan walaupun Nenggiri kawasan Pas.
“Kita sudah mula sedar bahawa politik khidmat sahaja tidak mencukupi. Ia perlu ada politik strategi,“ katanya.
Seterusnya, Norliza mengucapkan terima kasih kepada jentera wanita tanpa menafikan sumbangan Cawangan, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO apabila tiba musim pilihan raya.
“Jika ada sahaja pilihan raya, siapa dahulu yang turun ke lapangan… sudah pasti wanita. Bukan sahaja disebabkan jumlah kita yang ramai tetapi gerak kerja yang mantap.
“Seperti di Ayer Kuning, belum lagi penamaan calon jentera wanita telah turun berkampung di sana. Itulah semangat berjuang wanita yang memiliki sifat sangat rajin dan berdispilin,” pujinya.
Selain itu, Norliza berkata untuk memastikan UMNO mempunyai legasi, parti perlu membuka seluas-luasnya kepada mereka yang berminat untuk masuk UMNO supaya ada pelapis yang akan meneruskan perjuangan dengan jati diri yang kuat.
Dalam ucapannya, Norliza yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut memberi penerangan mengenai fokus agensi pembiaya pendidikan tinggi negara itu termasuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“Saya mengambil pendekatan bagaimana mahu menyelesaikan masalah hutang pinjaman pendidikan anak-anak graduan. Kita (dijangka) akan mengeluarkan modul mungkin tidak ada sebarang ujrah bagi anak-anak dalam kalangan miskin tegar atau B40.
“Kita juga baru-baru ini melancarkan myWakaf PTPTN berkolaborasi dengan Yayasan Wakaf Malaysia di mana ramai kita bantu pelajar menyambung pengajian dalam bentuk biasiswa, bukan pinjaman.
“Begitu juga menanamkan budaya menabung melalui produk SSPN sebagai persiapan kos pengajian yang semakin meningkat. Akaun SSPN ada perlindungan takaful. Hanya RM20 diperlukan untuk membuka akaun SSPN dan patuh syariah. Tahun ini dividen paling tinggi dalam tempoh sepuluh tahun iaitu 4.05%,” katanya yang berkata ia penting untuk masa depan pendidikan anak-anak. – UMNO ONLINE