Penting UMNO Kembali Dominan, Bawa Suara Rakyat

KEMAMAN, 20 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berpandangan bahawa penting untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) kembali dominan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, ini kerana ia untuk memastikan suara rakyat terus dibawa.

“Ini adalah perkara yang seringkali ditekankan oleh Presiden bahawasanya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang UMNO mesti kembali dominan supaya boleh membawa suara rakyat.

“Seterusnya untuk memastikan rakyat berada dalam keadaan yang lebih baik.

“Pastinya kita dapat lihat hari ini rata-rata rakyat merindui pentadbiran di bawah kerajaan UMNO/BN,” katanya.

Megat Zulkarnain berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Bangunan UMNO Bahagian di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Bahagian, Datuk Seri Dr Ahmad Said; Timbalan, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid serta kepimpinan bahagian.

Mengulas lanjut kata beliau penerangan berkenaan gerak kerja perlu diberikan secara terperinci kepada ahli parti untuk memastikan mereka memahami sebaiknya.

Katanya ia penting supaya pelan tindakan dilaksana secara tersusun oleh akar umbi parti menjelang PRU akan datang.

“Pastinya kita mesti memberi maklum kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi supaya mereka faham hala tuju yang hendak dibawa, untuk memperkasa dan memastikan UMNO kembali dominan.

“Ada andaian yang menyatakan UMNO dominan ini ialah maknanya kita kena bertanding solo malah lahir pelbagai tafsiran.

“Sebenarnya dominan ini ialah kita mesti kembali mempunyai jumlah kerusi banyak, seperti yang pernah kita berada di suatu masa dahulu,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79