Atas Sokongan UMNO… Tun Mahathir Kekal PM 22 Tahun – Saarani
BERUAS, 20 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Tun Dr Mahathir Mohamad kekal menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun atas sokongan ahli-ahli UMNO dan atas tiket beliau sebagai Presiden parti.
Kata Saarani yang juga Menteri Besar Perak, ini berbeza ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri kali kedua dan bukan atas tiket sebagai Presiden UMNO hanya bertahan 22 bulan sahaja.
“…betul Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 22 tahun, telah bangunkan negara… macam mana dia boleh jadi Perdana Menteri 22 tahun? Kerana ahli UMNO menyokong dia menjadi Perdana Menteri, Presiden UMNO 22 tahun.
“Jadi Perdana Menteri kali kedua, bukan Presiden UMNO… boleh bertahan 22 bulan sahaja. Bukan siapa yang tolak dia, dia sendiri jumpa Agong nak letak jawatan. Tiada niat nak mengherdik cuma nak ingatkan kepada orang UMNO, kita yang meletakkan dia di situ dengan kehendak Allah SWT,” kata Saarani ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas di Dewan Inderawati di sini, Sabtu petang.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad dan beberapa barisan kepimpinan UMNO Negeri Perak dan bahagian.
Oleh kerana itu, Saarani amat menghargai dan berbangga dengan ahli yang tetap kekal serta setia kepada UMNO walau apa sahaja cabaran yang parti hadapi.
“Di mana sahaja saya berucap, saya tidak boleh lupa menyatakan penghargaan setinggi-tingginya kepada ahli UMNO yang setia. Ada yang lanjut usia dan bergiat lama dalam UMNO, UMNO pernah kalah 2008, 2018, 2022… tak lari pun.
“Orang makin datang kepada UMNO setelah kita buktikan apa pun terjadi… orang UMNO, ahli UMNO yang setia, kasih dan percaya perjuangan UMNO ini suci, akan kekal walau apa yang berlaku. Berbanggalah menjadi ahli UMNO,” katanya lagi.
Dalam satu temubual bersama media selepas majlis itu, Saarani menyeru rakyat Perak agar tidak turun ke himpunan yang dianjurkan pembangkang pada minggu hadapan.
Ujarnya, Tun Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri juga pernah menolak keras demonstrasi dan boleh mencetuskan keadaan huru-hara.
“Dulu zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dia keluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak boleh ditumbangkan melalui demonstrasi.
“Kita mengamalkan demokrasi berparlimen bermakna rakyat boleh memilih kerajaan baru pada Pilihan Raya Umum. Kita tak boleh meniru negara lain sebab bila kita mulakan ini sesiapa yang menjadi Perdana Menteri pun akan ada rakyat tak setuju dan mereka akan berarak hari-hari, setiap kali naik kerajaan baru mereka akan berarak.
“Itu bukanlah satu proses demokrasi yang baik. Selain hiruk-pikuk itu, akan menyebabkan pelabur-pelabur lari. Yang saya pelik mereka tidak pula bercerita tentang kenaikan gaji dan bantuan kerajaan kepada orang miskin, tidak pula bercerita bagaimana mata wang Malaysia semakin kukuh di pasaran… ceritalah benda baik,” tegasnya. – UMNO ONLINE