‘UMNO Kena Berada Atas Kekuatan Sendiri’ – Sollehin
KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menyifatkan UMNO perlu berada dalam kekuatan sendiri terutama ketika mengharungi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang bagaimanapun berkata sebarang kemungkinan mungkin terjadi namun bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan.
“UMNO hendak bertanding dengan siapa itu keputusan pucuk pimpinan, walau apa pun kita kena bersedia dengan apa jua kemungkinan.
“UMNO kena pergi ke PRU dengan kekuatan sendiri, ada orang kata kena duduk dengan Dap baru dapat undi Cina. Parti saya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu… kalau UMNO hendak menang PRU harap undi Cina, berhenti jadi orang UMNO.
“… kerana UMNO kena duduk atas kekuatan orang Melayu kalau hendak menang PRU. Sebab itu kita kena balik pada asasnya iaitu jadi parti yang menyatukan orang Melayu seperti cogan kata parti ‘bersatu, bersetia, berkhidmat’” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di Quinara Al Safir Resort di sini, semalam.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Ketua Wanita Bahagian, Aida Azam; Ketua Pemuda Bahagian, Hafiz Aziz; Ketua Puteri Bahagian, Nurbaiti Akmar Roslan dan kepimpinan bahagian.
Sollehin bagaimanapun berkata kerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas suatu ketika dahulu perlu dijadikan pengajaran.
“Dulu kita dengan Pas sama-sama dalam Muafakat Nasional berpeluk sakan, berbincang dengan Pas tentang kerusi. Akhirnya pada PRU lalu kita tidak bersama dengan mereka,” ujar beliau. – UMNO Online