UMNO Kekal Sebagai Parti Solusi, Sederhana Dalam Perjuangan – Ir Dr Shaik Hussein

SUNGAI PETANI, 19 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin melihat UMNO sehingga ke hari ini terus kekal sebagai sebuah parti politik yang menjadi penyelesaian kepada rakyat selain mengekalkan pendekatan sederhana dalam perjuangannya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, di sini hari ini

“Hasil perjuangan UMNO cukup besar. Saya yakin apa yang saya ada hari ini adalah berkat perjuangan UMNO dengan izin Allah SWT. Kita perlu bangga menjadi ahli UMNO,” katanya.

Turut serta pada majlis perasmian berkenaan Ketua UMNO bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamaf Yusoff, pimpinan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO dan pimpinan UMNO setempat.

Dr Shaik  Hussein seterusnya menambah kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Kedah bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya peluang untuk merangka strategi baru bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Sebagai contoh tohmahan UMDAP hanya mahu menanam rasa benci orang Melayu terhadap UMNO, sedangkan UMNO dan BN lah yang ikhlas membantu rakyat. Apa yang kita tidak buat? Semua itu kerja hakiki kita,” ujarnya.

Datuk Ir. Dr. Shaik Hussein turut menekankan keperluan semua sayap parti di Sungai Petani termasuklah Wanita, Pemuda dan Puteri untuk bergabung tenaga dan merancang strategi masa depan secara bersepadu.

“Kita perlu berani memasang cita-cita, walaupun dilihat mustahil. Rancang strategi sebaik mungkin dan yakini kekuatan kita,” katanya.

Beliau turut menggariskan tiga pendekatan utama politik UMNO yang perlu diperkuatkan antaranya politik solusi iaitu parti perlu tampil dengan penyelesaian realistik untuk rakyat, terutama anak muda yang mahu tahu apa yang boleh mereka capai bersama parti ini.

“Keduanya politik legasi. Parti harus fokus melahirkan pelapis baharu agar perjuangan dapat diwarisi dan diteruskan dengan lebih berkesan oleh generasi muda.

“Ketiganya politik moderat. UMNO mesti kekal sebagai parti yang menolak ekstremisme dan terus mengamalkan pendekatan sederhana dan inklusif, demi keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

“Ini cara politik kita. Sabar, ikhlas, berstrategi dan percaya kepada usaha. Insya-Allah, UMNO akan bangkit semula dengan lebih kuat,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79