PRU16: UMNO/BN Ada Potensi Tawan Terengganu – Din Adam
DUNGUN, 19 Julai – Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai potensi untuk menawan semula Negeri Terengganu.
Ujarnya, gerak kerja untuk berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 perlu dimulakan dengan segera oleh para jentera bagi menggamit sokongan rakyat kepada UMNO/BN.
“Alhamdulilah, kehadiran perwakilan membanggakan lebih kurang 90 peratus. Itu menggambarkan kesetiaan akar umbi kepada parti. Nilai ini besar sebenarnya.
“Kesetiaan ini akan dibawa untuk merancang kepada gerak kerja kemenangan pilihan raya. Pokok yang utama adalah menang pilihan raya. Saya yakin dan percaya melalui mesej yang telah kita sampaikan, sampai ke bawah dan kita kena mulakan gerak kerja sepatutnya.
“Kita tidak ada pilihan. Pilihan kita adalah untuk menang pilihan raya. Insya-Allah, sebab berdasarkan keadaan politik semasa, UMNO mempunyai potensi dan ruang yang cukup baik,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, Kerajaan Pas tidak mampu untuk menyediakan perkara asas kepada rakyat seperti peluang pekerjaan dan memperbaiki pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu.
“Ini kerana pergolakan dalaman parti-parti lain jelas pada hari ini sama ada dalam Kerajaan Negeri Terengganu… dengan kerajaan Pas yang tidak ada satu perkara pun mereka mampu buat. Di lain tempat pun perkara yang sama juga.
“Dalam keadaan begini, kita mempunyai ruang yang cukup baik untuk menggerakkan jentera. Nak gerak jentera, mesti ada kerjasama. Saya seru, minta dan pohon sangat-sangat kepada semua jentera parti, marilah kita kembali untuk gerakkan kerjasama dalam mencari kemenangan pada pilihan raya akan datang.
“Saya tak nampak sangat (sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional)… sebab itu kena ada gerakan yang perlu kita buat. Kita perlu nyatakan bahawa tidak ada satu keistimewaan pun negeri ini ditadbir mereka. Tiada apa pun perubahan yang berlaku sama ada dari segi pertumbuhan ekonomi, pekerjaan… apa sahaja, fizikal pun langsung tidak berlaku,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO/BN mempunyai trek rekod yang cemerlang sepanjang lebih 60 tahun memerintah.
“Jadi, cukup-cukuplah ke sana, kembali semula kepada UMNO sebab kita ada trek rekod. Jasa dan kemampuan kita menyantuni akar umbi jauh berbeza daripada mereka. Saya ingin menyeru semua sekali agar datang kembali bersama UMNO kalau nak bangunkan Terengganu.
“Terengganu ini adalah satu-satunya negeri yang lebih bergantung kepada kerajaan. Negeri yang boleh dikatakan ‘reliable to government’. Jadi, kalau kerajaan yang ada tidak mampu maka kembali semula kepada UMNO/BN sebab kita ada trek rekod.
“Kita memang kepimpinan yang berada di akar umbi. UMNO ini adalah satu-satunya parti yang lahir daripada akar umbi. Sistem kita cukup lengkap, berbeza dengan mereka yang mungkin lahir dari jalanan… kerana protes, tidak bersetuju dan sebagainya,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman