Bukan Lagi Tempoh Bertahan, Gempur Lawan Politik – Razif
KUALA NERUS, 19 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman menyeru jentera parti khususnya kelompok muda untuk menguasai media baharu.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, ini kerana ia sebagai medium penting kepada politik masa kini terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Orang-orang muda yang mesra kepada media… mesra kepada teknologi perlu buat sesuatu.
“Jangan hanya melihat saja. Pada pandangan saya, peluang sangat besar kepada kita sebenarnya untuk membuat persiapan dalam PRU16.
“Kalau kita tidak menjuarai media dan teknologi, kita akan ketinggalan. Nombor 40-0 akan kembali lagi pada PRU16,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus di Quinara Al Safir Resort di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie; Timbalan Ketua Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Ketua Wanita Bahagian, Aida Azam; Ketua Pemuda Bahagian, Hafiz Aziz; Ketua Puteri Bahagian, Nurbaiti Akmar Roslan dan kepimpinan bahagian.
Katanya lagi melalui platform media sosial, rakyat perlu didedahkan mengenai kegagalan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas yang tidak kompeten dalam menjalankan urus tadbir negeri.
“Sekarang bukan masa untuk kita bertahan sebaliknya adalah untuk menyerang.
“Jadi kerana itu saya mohon kepada orang-orang muda terutamanya, jadikanlah diri kamu semua ini sebagai tentera-tentera media UMNO/Barisan Nasional untuk mengorak langkah bagi menyerang isu-isu yang dibawa kerajaan negeri,” ujar beliau. – UMNO Online