Titah Adendum: Ketua-Ketua UMNO Bahagian Gesa Segera Dilaksana

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Ketua-ketua UMNO bahagian seluruh Malaysia mendesak supaya Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berkaitan isu Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafei Abdullah memaklumkan bahawa perjumpaan bersama ketua-ketua UMNO bahagian yang diadakan semalam adalah sebagai respon kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkaitan isu Titah Adendum.

“Perjumpaan ketua-ketua UMNO bahagian seluruh negara diadakan atas inisiatif bersama. Pertemuan ini diadakan sebagai respon kepada kenyataan media Setiausaha Agung UMNO bertarikh 11 Julai 2025 mengenai isu Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Rakyat telah pun maklum bahawa pada 4 Januari 2025, Istana Pahang secara rasmi memperakukan melalui surat bahawa Titah Adendum tersebut benar-benar wujud dan sahih. Malah, Mahkamah Rayuan Putrajaya yang bersidang pada 6 Januari 2025 turut memutuskan bahawa Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah wujud dan mempunyai asas perundangan.

“Fakta ini jelas menunjukkan bahawa pihak Peguam Negara telah dengan sengaja menyorokkan titah tersebut lebih dari tempoh setahun… tindakan amat mendukacitakan seluruh ahli parti dan rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, tindakan pihak-pihak tertentu menyorokkan Titah Adendum tersebut melanggar prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran undang-undang negara.

“Tindakan menyorok ini jelas melanggar prinsip ketelusan (transparency) dan kebertanggungjawaban (accountability) dalam pentadbiran undang-undang negara. Lebih malang lagi, tindakan ini mencemar budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 serta Raja-Raja Melayu secara keseluruhan. Ia juga secara langsung telah menafikan keadilan yang sewajarnya diterima oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Sehubungan itu, ketua-ketua bahagian UMNO yang hadir malam ini sebulat suara bersetuju mengambil ketetapan untuk mendesak Perdana Menteri Malaysia segera mengambil tanggungjawab penuh untuk melaksanakan Titah Addendum tersebut.

“… iaitu membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah, seperti yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Tiada sebarang alasan lagi untuk melengah-lengahkannya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar usul khas mengenai isu Titah Adendum ini diangkat ke Persidangan UMNO Bahagian masing-masing.

“Seterusnya, mendesak supaya Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari 2025. Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja dan mendokong keadilan, bukan menghalangnya.

“Selain itu, mencadangkan agar semua Bahagian UMNO di seluruh negara yang belum bersidang membawa usul khas mengenai isu Titah Adendum ini dalam Persidangan Bahagian masing-masing. Usul ini penting sebagai bukti kesepakatan dan solidariti parti dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan untuk semua.

“Ketua-ketua UMNO bahagian yang hadir menegaskan bahawa perkara ini bukan hanya soal individu, tetapi adalah soal kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada Institusi Diraja, dan prinsip keadilan yang wajib dipertahankan bersama,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79