Kuasai Medium Baharu Dalam Komunikasi Agar Usaha Baik UMNO Dirasai

BAYAN BARU, 18 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penting ahli UMNO di semua peringkat memanfaatkan penggunaan medium-medium baharu sebagai satu pembaharuan dalam komunikasi politik.

Menurut Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan, segala usaha baik yang UMNO lakukan sejak dahulu hingga sekarang tidak akan dirasai dan dihargai oleh rakyat jika parti ketinggalan daripada menguasainya.

“Dalam politik, komunikasi sangat penting dan hari ini dengan kemajuan teknologi ada pembaharuan komunikasi.

“Jika UMNO tidak menggunakan pembaharuan, akan ketinggalan. Segala usaha baiknya akan lenyap tidak akan dihargai,” kata Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan kepada UMNO Online.

Mohamed Khaled ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai kehadiran perwakilan di Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-bahagian, Khaled melihat semangat juang dan kecintaan mereka kepada parti berada pada paras tinggi.

“Ia adalah satu petanda yang sangat baik kepada parti dan parti perlu melihat ini sebagai satu peluang untuk kita mula menyusun (gerak kerja) supaya keadaan itu dapat digunakan untuk memberi kekuatan kepada parti.

“Saya percaya bahawa sebahagian besar bahagian-bahagian yang saya pergi, mereka faham cabaran-cabaran yang dihadapi oleh parti dan walaupun pilihan raya peringkat pusat lama lagi iaitu akhir 2027, tetapi di sesetengah bahagian kerja-kerja dan persiapan untuk pilihan raya sudah pun dimulakan.

“Dengan sesetengah bahagian membuat kajian sikap dan mengatur strategi-strategi untuk pilihan raya. Ini sesuatu yang sangat baik kerana adanya inisiatif-inisiatif bahagian itu sendiri. Di samping mereka melihat kepada isu-isu biasa yang perlu diselesaikan sebelum menjelang pilihan raya,” katanya.

Tambahnya lagi, persidangan juga merupakan satu medan untuk memberi kefahaman kepada ahli mengenai hala tuju parti.

“Tetapi yang lebih penting dari itu, melalui persidangan-persidangan ini kita dapat memberi kefahaman kepada ahli mengenai kedudukan, tindakan-tindakan dan cabaran-cabaran yang parti dihadapi dan gesaan-gesaan yang sewajarnya dilaksanakan oleh parti di peringkat akar umbi itu sendiri.

“Antaranya soal kekeliruan dan asas UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan itu sangat penting dan UMNO di semua peringkat mula secara serius melakar agenda masing-masing,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79