UMNO Selayang Sokong Tubuh Sekretariat Perundangan, Lindungi Kepentingan Melayu/Islam – Hasnal Rezua

SELAYANG, 15 Julai – UMNO Bahagian Selayang menyambut baik hasrat parti untuk mewujudkan Sekretariat Perundangan bagi mengkaji dan membawa kes-kes mahkamah terhadap mereka yang memfitnah pemimpin-pemimpin UMNO.

Ketuanya, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata fungsi sekterariat ini harus diperluaskan bagi mengenal implikasi terhadap masyarakat.

“Sekretariat Perundangan yang mengkaji semua Rang Undang-Undang dan Rang Undang-Undang (Pindaan) yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat serta Dewan-Dewan Undangan Negeri demi mengenalpasti implikasinya terhadap masyarakat Melayu/Islam serta dapat ditambah nilai untuk menjadi Undang-Undang Negara yang mesra Melayu/Islam sejajar dengan kedudukan Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan.

“Kewujudan Sekretariat ini juga mampu membantu menjadikan ahli-ahli UMNO/BN lebih informatif, justeru meningkatkan kualiti perbahasan mereka dan menjadi Sekretariat yang berfungsi sebagai ‘one stop center’ .

“Ia untuk mengemukakan surat rayuan bertulis kepada Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia bagi mereka yang berstatus muflis untuk meloloskan diri dari belenggu kemiskinan bandar,” katanya kepada perwakilan UMNO Bahagian Selayang pada Sabtu.

Turut hadir, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim; Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail serta perwakilan empat peringkat UMNO Bahagian Selayang.

Hasnal Rezua juga menyarankan agar Suruhanjaya Ekonomi Gig yang baru diwujudkan dapat dimobilisasi sepenuhnya untuk memperkukuhkan kedudukan UMNO di kalangan pengundi muda.

“Suatu dana perlu diwujudkan UMNO untuk membantu membiayai caruman pekerja-pekerja Gig Ekonomi ini di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), suatu skim yang disediakan PERKESO. Caruman di bawah skim ini ditanggung 90 peratus oleh kerajaan dan hanya 10 peratus oleh pencarum.

“Nilai caruman oleh pencarum hanyalah RM23.30 setahun. Jika kita menyediakan dana sebanyak RM233,000 kita mampu membayar caruman untuk 10,000 pekerja setahun di dalam kawasan-kawasan Parlimen dan DUN tumpuan.

“Data mengenai identiti dan alamat para pekerja Gig ini mesti dikumpul oleh Suruhanjaya Ekonomi Gig dan kemudiannya disalurkan ke Bahagian-Bahagian yang mempunyai kerusi tumpuan. Pelaburan yang cukup rendah, namun mampu melorongkan kita kepada blok sokongan yang baru,” katanya lagi.

Ujarnya, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian-Bahagian akan bertindak sebagai ejen parti untuk mengesan, melakukan ‘engagement’ dan kemudiannya membayar caruman tahunan untuk mereka. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79