UMNO Lahad Datu Teruskan Khidmat Bakti, Bukan Hanya Menjelang PRN

LAHAD DATU, 15 Julai – UMNO Bahagian Lahad Datu terus membuktikan komitmen berterusan dalam memperjuangkan kebajikan rakyat tanpa mengira musim atau waktu.
Ketua Bahagiannya, Sharif Musa Sharif Mabul menegaskan bahawa gerak kerja UMNO bukan sekadar tertumpu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) semata-mata, tetapi sudah sebati dalam denyut nadi perjuangan parti.

“UMNO tidak pernah menunggu musim pilihan raya untuk berbakti. Gerak kerja ini adalah tanggungjawab yang kami galas setiap masa demi rakyat, demi anak bangsa,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau turun padang menyantuni masyarakat dan menyampaikan sumbangan serta bakul makanan kepada para pemohon dalam satu majlis baru-baru ini.
Ujarnya, program bantuan ini adalah sebahagian daripada inisiatif kebajikan yang dilaksanakan UMNO Lahad Datu secara konsisten.

“Kita menyampaikan sumbangan kepada semua peringkat termasuk beberapa penerima bantuan kewangan bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membuktikan keprihatinan UMNO terhadap pendidikan anak-anak tempatan.”

Antara penerima bantuan termasuk anak kepada Noorasyikin Jumaidi yang akan melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Labuan, anak kepada Farah Shamiera Adriyana Binti Abdul yang bakal mengikuti pengajian Diploma dalam Pengurusan di City University Malaysia, Kota Kinabalu selain sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Silam, Lahad Datu, bagi menyokong Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Daerah Lahad Datu (MSSD LD) 2025 dan beberapa sumbangan khairat kematian kepada waris yang memerlukan.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan semangat anak-anak Lahad Datu yang gigih melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kami amat berbangga dapat membantu anak-anak kelahiran Lahad Datu untuk mencapai cita-cita mereka. UMNO akan terus menyokong usaha pendidikan ini kerana kami percaya, pelaburan terhadap pendidikan anak-anak adalah pelaburan masa depan negara.

“Saya mendoakan agar semua pelajar yang menerima bantuan akan berjaya dalam pengajian masing-masing dan seterusnya dapat kembali berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.”

Berkaitan bantuan bakul makanan kepada para pemohon yang telah mendaftar sebelum ini, Sharif Musa memaklumkan bahawa proses agihan akan dilakukan secara berperingkat mengikut tarikh permohonan yang telah diterima.

“Kami faham, ramai yang memerlukan. Insya-Allah, setiap permohonan akan diberi perhatian dan akan dipanggil mengikut giliran. Kepada yang belum menerima, mohon bersabar. Kami di UMNO Lahad Datu sentiasa mengutamakan keadilan dalam pengagihan bantuan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79