Jangan Takut, Ahli UMNO Mesti Agresif Tolak Mainan Persepsi Pihak Lawan
PENDANG, 13 Julai – Ahli parti mesti agresif mempertahankan parti daripada sebarang cemuhan pihak lawan, tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kata Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang, ahli jangan takut melawan setiap mainan persepsi dan sentimen yang ditimbulkan oleh mereka.
Menurutnya lagi, negeri Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu turut menerima tempias apabila dihujani dengan strategi politik pihak lawan itu.
“Kekalahan kita ini bukan kerana kita tidak kuat. Kita dikalahkan dengan persepsi dan sentimen.
“Rakyat mudah terpengaruh undi Pas masuk Islam, kononnya Islam gagal bila UMNO bersama Dap.
“Kalau dibanding dengan mereka, pernahkah kita pegang dan kibar bendera Dap? Tak pernah… mereka pernah, pernah sembahyang depan bangunan Dap. Mereka pernah berpakat dengan Dap dalam pilihan raya,” kata Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pendang, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Pendang Datuk Suraya Yaacob, Ketua UMNO Bahagian Sik Datuk Muhammad Khizri Abu Kassim selaku wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Muthalib Harun.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Datuk Ruzaini Rais, mantan Ahli Parlimen dan mantan Ketua UMNO Bahagian Pendang Datuk Othman Abdul serta barisan kepimpinan parti dari negeri Pahang.
Jelas Wan Rosdy lagi, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong dan tampil dengan syarat yang jelas.
“Kita Barisan Nasional bekerjasama dengan Pakatan Harapan bersama 18 parti lain bagi tubuhkan kerajaan mengikut titah Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak mahu negara tidak berkerajaan.
“Kita bentangkan syarat dan empat syarat utama yang sudah termaktub dalam perlembagaan mesti diakui oleh parti-parti yang berada di dalam Pakatan Harapan. Agama Islam agama Persekutuan, hak keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera, institusi Raja jangan disentuh dan Bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Itu syaratnya,” katanya.
Dalam ucapannya, Wan Rosdy juga berpesan kepada UMNO Bahagian Pendang agar jangan berputus asa dengan kekalahan yang dialami sama ada dalam Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Apa yang penting ujarnya, setiap ahli perlu kekal teguh dan bangkit bagi memastikan UMNO kembali berkuasa.
Selanjutnya, Wan Rosdy juga menyentuh mengenai usahanya menubuhkan Sekolah Patriotik UMNO bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang kental jati diri terhadap perjuangan parti.
“Sekolah Patriotik UMNO pengisiannya untuk melahirkan pemimpin UMNO yang setia. Tidak mahu apa yang pernah terjadi apabila parti kalah, ramai yang keluar sepertimana yang berlaku di Sabah 22 pemimpin bahagian pindah ke parti lain.
“Graduan Sekolah Patriotik UMNO tahu perjuangan UMNO adalah perjuangan yang tulen demi agama, bangsa dan negara, dan tiada pada parti-parti lain,” katanya. – UMNO ONLINE