Majlis Penasihat Wanita UMNO Kota Melaka Inisiatif Strategik – Haryaty

KOTA MELAKA, 11 Julai – Mesyuarat Wanita UMNO  Kota  Melaka hari ini mencatatkan detik bersejarah apabila melancarkan Majlis Penasihat Wanita UMNO bahagian berkenaan.

Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata penubuhan majlis berkenaan merupakan sebuah inisiatif strategik yang julung kali diperkenalkan di peringkat bahagian.

“Penubuhan Majlis Penasihat ini bertujuan untuk menjadi platform pemikiran strategik yang menghimpunkan tokoh-tokoh berpengalaman, profesional dan pakar dalam pelbagai bidang seperti agama, politik, tadbir urus, ekonomi, perundangan dan perlembagaan, pendidikan, kesihatan, teknologi, STEM, komunikasi, seni, budaya, warisan serta kebajikan masyarakat.

“Matlamat utama penubuhan majlis ini adalah untuk memperkukuh dasar, memperjelas halatuju dan memperkasakan peranan Wanita UMNO di peringkat akar umbi, di samping menyediakan khidmat nasihat strategik yang relevan dengan keperluan dan cabaran semasa masyarakat.

“Pelantikan ahli-ahli Majlis ini dibuat berdasarkan kepakaran mendalam dalam bidang masing-masing, sekali gus menjadikan Majlis Penasihat ini sebagai pemacu idea serta rujukan pelbagai dimensi,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu berlangsung Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Kota Melaka yang disempurnakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hasan. Turut bersama Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan pimpinan yang lain.

Kata beliau lagi pelancaran Majlis Penasihat ini membuktikan kesediaan Wanita UMNO Kota Melaka untuk memimpin dan mendepani cabaran politik semasa dengan pendekatan yang matang, rasional dan berasaskan fakta.

“Majlis ini berperanan sebagai rakan strategik kepada kepimpinan wanita bahagian dalam menangani isu-isu yang melibatkan rakyat, khususnya wanita dan institusi keluarga di Kota Melaka.

“Inisiatif ini turut mencerminkan iltizam Wanita UMNO Kota Melaka untuk membina jaringan kolaborasi merentas generasi dan bidang kepakaran, serta memperkukuhkan nilai-nilai kebijaksanaan, prinsip dan inklusiviti dalam gerakan wanita.

“Penubuhan Majlis Penasihat ini diharap menjadi penanda aras baharu kepada UMNO bahagian-bahagian lain di seluruh negara dalam memperkasa kepimpinan wanita secara menyeluruh, sistematik dan berpandangan jauh,” tambahnya.

Berikut Barisan ahli Majlis Penasihat Wanita UMNO Kota Melaka.

YBhg. Prof. Datuk Dr. Abdul Rani bin Samsudin

Pengarah Perubatan, University Dental Sharjah, UAE

YBhg. Dato’ Ir. Hajjah Azizah binti Osman

Adjudikator, Asian International Arbitration Centre (AIAC)

YBhg. Datin Hajjah Rosfinah binti Datuk Hj Rahmat

Peguambela, Peguamcara & Peguam Syarie, Tetuan Rosfinah & Co

YBhg. Dr. Mohd Fauzi bin Kamarudin

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan, UTeM

YBhg. Tuan Siraj Jalil

Presiden, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79