SST Terhadap Barangan Import Termasuk Buah-buahan Mungkin Disemak Semula

BANGI, 19 Jun – Kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas beberapa barangan import terpilih termasuk buah-buahan seperti epal dan limau Mandarin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata buah-buahan tersebut tidak dihasilkan secara domestik, sebaliknya diimport sepenuhnya dari negara luar, justeru wajar dipertimbangkan semula sebelum dikenakan SST antara lima hingga 10 peratus.

“Saya berpandangan ada munasabah untuk (kadar baharu SST ke atas barangan tertentu) dilihat semula dan saya fikir akan ada pelarasan terhadap bahan-bahan tertentu dikategorikan untuk dikenakan cukai lima hingga 10 peratus.

“(Tetapi) jangan ambil itu secara konklusif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS), di sini hari ini.

Sebelum ini Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed menyifatkan langkah mengenakan SST ke atas buah import sebagai tidak munasabah kerana ia turut memberi kesan kepada pengguna berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata pandangan dikemukakan Ameer Ali itu perlu dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri memandangkan ia menyentuh keperluan rakyat terhadap buah-buahan import.

“Hasil cukai buah kepada negara pun tidak begitu tinggi. Jadi kalau dikenakan SST, maka harganya akan meningkat.

“Saya tahu tujuannya (tindakan mengenakan SST ke atas buah import) adalah untuk melindungi buah tempatan tetapi kita tidak mengeluarkan epal dan limau Mandarin. Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi juga saya yakin sedang melihat perkara itu,” katanya.

Pada 9 Jun lepas, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar SST yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2025. Kadar cukai jualan kekal bagi barangan keperluan, manakala kadar lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan tidak penting atau mengikut budi bicara.

Dalam masa sama, skop cukai perkhidmatan turut diperluaskan meliputi enam perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79