Melaka Komited Kukuh Kedudukan Sebagai Hab Utama Perindustrian

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan komitmen untuk mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab utama perindustrian termasuk dalam bidang automotif dan semikonduktor.

Menurut beliau ia dilaksanakan dengan gabungan kepakaran Possehl Electronics dan komitmen Melaka terhadap kelestarian, dengan berusaha memanfaatkan kepakaran Possehl untuk merangsang inovasi dan pertumbuhan jangka panjang.

“Bagi merealisasikan visi ini, beberapa bidang tumpuan telah dikenal pasti untuk memberikan impak berkekalan termasuklah mobiliti elektrik, pengurusan sisa pintar melalui digitalisas dan pembangunan bandar rendah karbon.

“Inilah antara langkah kerajaan negeri bagi membina ekosistem pelaburan lestari, menerusi pembangunan 22 taman industri dan tiga taman perindustrian baharu berteknologi tinggi yang bukan sekadar membawa pelabur, tetapi membuka ribuan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Melaka.

“Tentunya, kerajaan negeri bersedia untuk memberikan sokongan dari aspek sumber tenaga manusia khususnya dengan adanya institusi TVET, keperluan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan menawarkan insentif dari pihak negeri selain yang diberikan oleh pihak MIDA.

“Saya yakin, gabungan komitmen kerajaan negeri dan kekuatan teknologi Possehl diyakini mampu menjadikan Melaka sebagai nadi industri masa depan di Asia Tenggara,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian menerusi hantaran di Facebook berkongsi pertemuannya bersama bersama barisan kepimpinan Possehl Electronics, syarikat peneraju teknologi automotif dan semikonduktor dunia yang sudah bertapak di Melaka.

Beliau memaklumkan pertemuan berlangsung di Pejabat MIDA Munich bagi mengalu-alukan hasrat syarikat tersebut membuka lembaran baharu kerjasama strategik untuk mengembangkan operasinya di Melaka menjelang 2026, sama ada di FTZ Batu Berendam atau di German Technology Park yang bakal dibangunkan.

Sementara itu Ab Rauf turut sama merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Possehl Electronics, Dr Andre Philipp atas pertemuan tersebut yang seterusnya membuka ruang kerjasama di antara Melaka dan Possehl Electronics.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad; Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian, Datuk Dira Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Pengarah Malaysian Investment Development Authority – MIDA (MIDA) Munich, Jerman, Wan Farulnizam Wan Mohd Faizul. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79