UMNO Sabah Siap Hadapi PRN Ke-17, GERAK-17 Sebagai Agenda Kebangkitan

KOTA KINABALU, 12 Jun – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa UMNO Sabah kini berada dalam landasan yang lebih kukuh dan tersusun bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Dalam Perutusan Khas sempena Mesyuarat Perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh Sabah, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli akar umbi yang komited melaksanakan mesyuarat masing-masing dengan penuh semangat dan disiplin perjuangan.

Jelas beliau, semangat kental para ahli UMNO inilah yang menjadi bukti bahawa parti tersebut masih teguh biarpun berdepan gelombang cabaran.

“UMNO telah melalui zaman luka dan duri, namun kita tidak pernah rebah. Kapal ini tetap teguh menuju pelabuhan kemenangan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO Sabah kini jauh lebih bersedia daripada sebelumnya. Parti bukan sahaja bersiap untuk bertanding, tetapi juga bertekad untuk menang dengan membawa suara rakyat yang mahukan perubahan yang jujur dan lestari.

UMNO katanya bukan lagi dihuni oleh mereka yang datang kerana kesempatan, tetapi oleh pejuang sejati yang telah melalui ujian dan kekal setia demi perjuangan.
Dalam perutusan tersebut, Bung Moktar turut mengumumkan pelancaran satu gerakan baharu dinamakan GERAK-17, yang diilhamkan daripada denyut nadi rakyat dan iltizam pemimpin akar umbi UMNO Sabah.

“GERAK-17 bukan sekadar program, tetapi satu simbol kepada perpaduan, kesetiaan dan kebangkitan yang menghubungkan rakyat dan pemimpin serta menyatukan semula kekuatan parti.

“Nama GERAK-17 bukan datang dari langit, tetapi dari keringat dan pengorbanan. Ia dibina dengan hati, dijiwai dengan tekad dan digerakkan dengan kasih terhadap rakyat Sabah,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO Sabah menghormati keputusan mana-mana individu yang memilih untuk meninggalkan parti, namun tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang kembali menyerang dan memburukkan parti yang pernah mereka naungi.

Dalam masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli yang tetap setia bersama parti walaupun berdepan badai politik yang mencabar.

Mengakhiri ucapannya, Bung Moktar menyeru semua ahli UMNO agar tidak kendur semangat perjuangan demi masa depan generasi akan datang.

Menurutnya, perjuangan ini bukan sekadar soal politik semasa, tetapi soal amanah terhadap nasib rakyat Sabah.

“Kalau mau menang, kita buat cara orang mau menang!” serunya dan berharap untuk kebangkitan UMNO Sabah dalam landskap politik negeri. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79