Noraini Ziarah Pelajar UPSI, Waris Mangsa Kemalangan Bas
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berbesar hati melakukan ziarah kasih ke atas para pelajar serta waris yang terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Jeli–Gerik.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia mengunjungi 10 orang pelajar yang masing-masing menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan Hospital Taiping.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sebagai tanda keprihatinan dan solidariti, saya telah mengadakan ziarah kasih ke atas mereka. Dua orang sedang dirawat di HRPB Ipoh dan lapan orang lagi sedang dirawat di Hospital Taiping.
“Di HRPB, Ipoh saya telah melawat dua orang pelajar yang sedang menerima rawatan iaitu Lili Suzana Mat Ya’acob dan Nor Erika Elysha Mohd Zaidi. Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan mengikut keperluan atas nasihat doktor.
“Saya kemudiannya ke Hospital Taiping untuk melawat lapan pelajar lain yang sedang menerima rawatan antaranya Fakhira Asmalia Zulkifli, Nurul Nadia Abdul Zamid, Wan Nur Farah Syuhada Wan Ibrahim, Nurul Atirah Zakaria dan Wan Nur Masyitah Wan Hussin. Turut dirawat di sini, Nur Liyana Zainudin, Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan dan Muhammad Syakir Mohd Saberi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pada kunjungan tersebut beliau turut sama menyampaikan sumbangan PEKA di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Bantuan Tabung Bencana Segera di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada keluarga mangsa yang terlibat.
Turut serta dalam ziarah ini ialah wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN), bagi menyelaras sokongan kebajikan yang diperlukan.
Noraini memaklumkan pihak JKM dan YKN turut mengambil maklum akan keperluan lanjut berkaitan bantuan kewangan, sokongan keluarga dan pemulihan emosi mangsa untuk bantuan seterusnya. – UMNO Online