Jika Ada Kesungguhan, Kesepakatan… UMNO Selangor Akan Bangkit Kembali – Megat Zulkarnain
KUALA LUMPUR, 11 Jun – UMNO Negeri Selangor akan kembali bangkit sekiranya ahli dan akar umbi ada kesungguhan serta kesepakatan yang jitu, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Ujarnya, meskipun kini UMNO Negeri Selangor hanya mempunyai dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri tersebut, ia tidak menghalang segala usaha untuk memperkukuh semula parti.
“Walaupun UMNO Negeri Selangor berada dalam kedudukan yang diperkatakan, hanya ada dua orang ADUN… percayalah bahawa kalau kita ada keinginan, kesungguhan, kesepakatan dan keikhlasan, UMNO Selangor boleh kembali bangkit pada masa akan datang.
“Kita baru melalui satu tempoh kekalahan pada 2018. Apa yang berlaku sekarang ini adalah bisikan-bisikan yang boleh memecahbelahkan parti. Kita telah membuat kesilapan pada tahun 2018 apabila dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang tidak terjawab.
“Akhirnya, ia membuatkan jentera tidak bersungguh-sungguh untuk bekerja pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Orang kita termakan dengan fitnah tersebut dan akhirnya kita kalah pada PRU ke-14. Namun, kita diuji lagi pada PRU ke-15,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat UMNO Negeri Selangor pada Selasa.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak berkata, kekuatan UMNO adalah bergantung kepada kesetiaan ahli yang tidak pernah jemu dan ia perlu digarabkan sebaiknya.
“Di Selangor, kita hanya menang dua kerusi ADUN. Adakah kita berpuas hati dengan pencapaian tersebut? Tidak. Percayalah, orang kata UMNO Selangor tiada hala tuju. Saya tahu kekuatan UMNO di mana… iaitu pada ahlinya.
“Tidak ada mana-mana parti yang ada kekuatan seperti UMNO hari ini. Tinggal lagi bagaimana kita nak menggarabkannya. Tinggal lagi dengan cara bagaimana kita bekerja. Let’s work as a team. Saya tiada tongkat sakti tetapi saya ada ahli-ahli yang setia kepada UMNO Negeri Selangor ini.
“Kalau kita bekerja dalam satu pasukan, saya percaya akan ada titik bengik. Ada yang tak puas hati dan sebagainya. Tetapi ketepikanlah dahulu, cukuplah parti kita ini dihina,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh perwakilan untuk memberikan keyakinan kepada pucuk pimpinan yang mengemudi parti pada ketika ini.
“Percayalah, pucuk pimpinan yang dipimpin oleh Presiden… kita mesti ada keyakinan kepada beliau. Kita lawan secara solo pada PRU ke-15 namun takdir menentukan kita bersama Kerajaan Perpaduan pada ketika ini.
“Saya yakin dengan kesetiaan dan kerja keras kita bersama, UMNO Negeri Selangor akan kembali cemerlang seperti dahulu,” katanya lagi. – UMNO Online