Jadikan Persidangan Bahagian Sebagai Medan Kebangkitan – Md Israk
JOHOR BAHRU, 11 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah, menyeru seluruh perwakilan UMNO Bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri agar menjadikan persidangan UMNO Bahagian tahun ini sebagai medan muhasabah dan titik mula kepada gelombang kebangkitan parti yang lebih besar.
Dalam kenyataan beliau sempena persidangan yang sedang berlangsung, Md Israk merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan yang terus setia dalam perjuangan UMNO.
Beliau menegaskan bahawa persidangan ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi medan penting untuk memperkukuh saf perjuangan dan mengangkat suara akar umbi.
“Saya menyeru kepada semua perwakilan agar menggunakan ruang ini dengan sebaiknya. Suarakanlah pandangan, cadangan dan saranan secara matang, berhemah dan membina. Setiap buah fikiran adalah denyut nadi sebenar yang menentukan halatuju dan masa depan UMNO,” katanya.
Md Israk turut mengingatkan bahawa kekuatan UMNO tidak lahir dari pimpinan atasan semata-mata, sebaliknya bertunjangkan kepada akar umbi yang menjadi nadi sebenar perjuangan.
Beliau menyifatkan sokongan setia daripada cawangan dan perwakilan sebagai tiang seri yang terus menghidupkan semangat UMNO.
“UMNO bukan milik individu. Ia milik seluruh bangsa yang mendambakan masa depan yang bermaruah dan berdaulat,” tambahnya.
Beliau juga menyeru seluruh perwakilan agar melaksanakan persidangan dengan tertib dan penuh tanggungjawab, serta memperbaharui iltizam untuk terus memperjuangkan maruah bangsa, agama dan tanah air.
“Mari kita jadikan persidangan ini sebagai titik mula kepada gelombang kebangkitan yang lebih besar demi UMNO, demi rakyat, dan demi Johor yang lebih maju dan sejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online