Bantuan Kecil UMNO Jadi Penguat, Bukti Kasih Terus Sampai Tanpa Halangan – Rosnah

KOTA KINABALU, 11 Jun – “Walau apa jua cabaran, kasih yang setulus ini akan terus mencari jalan untuk sampai.”

Demikian mesej utama disampaikan dalam program Kembara Setulus Kasih anjuran Wanita UMNO Papar yang menjadi simbol komitmen dan keprihatinan parti terhadap golongan memerlukan.

Program yang digerakkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin selaku Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar ini memberi tumpuan kepada penyerahan kotak makanan melibatkan penerima terpilih dari beberapa buah kampung, khususnya mereka yang tidak dapat hadir atas faktor kesihatan dan kekangan peribadi.

“Bantuan kecil ini bukan sekadar barangan asas, tetapi lambang sokongan moral dan semangat bahawa mereka tidak dilupakan,” kata Rosnah.

Beliau menzahirkan penghargaan lantaran kembara tersebut turut mendapat kerjasama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis yang membenarkan penggunaan kenderaan mereka sekali gus melancarkan pergerakan agihan bantuan.

“Ucapan terima kasih juga buat barisan ahli jawatankuasa Wanita UMNO atas semangat dan kecekalan anda amat dihargai.

“Walaupun berdepan cuaca hujan dan ribut, ia tidak mematahkan semangat untuk memastikan bantuan ini sampai terus ke tangan mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau juga berharap agar inisiatif seperti ini dapat terus menjadi inspirasi bukan sahaja kepada anggota parti tetapi juga orang ramai.

“Harapan saya agar bantuan kecil ini menjadi penguat semangat buat penerima, serta menjadi bukti bahawa walau apa jua cabaran, kasih yang setulus ini akan terus mencari jalan untuk sampai.”

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79