Akar Umbi Perlu Faham Aspirasi, Pastikan UMNO Kembali Dominan – Megat Zulkarnain
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ahli dan akar umbi di setiap peringkat perlu memahami aspirasi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan parti kembali dominan pada masa akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, UMNO tidak mahu lagi dilihat sebagai sekadar pelengkap tanpa mengganggu-gugat visi parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ini adalah untuk menyahut seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO mesti kembali dominan. Penting untuk setiap ahli parti di peringkat akar umbi memahami aspirasi Presiden ini.
“Kita tidak mahu lagi dilihat sebagai hanya pelengkap… namun kita juga mesti dilihat kembali dominan. Namun dalam soal itu, ia tidak menggugat (kerjasama Kerajaan Perpaduan). Setiap parti ada visi dan hala tuju masing-masing.
“Pastinya Datuk Seri Presiden telah menetapkan bahawa ini adalah hala tuju UMNO dan sudah semestinya Selangor tidak ketinggalan,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Majlis Perasmian Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat UMNO Negeri Selangor pada Selasa.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak memaklumkan bahawa terdapat pelan telah dirangka dalam gerak kerja meraih sokongan rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.
“Maka sebab itu saya telah merangka satu pelan yang dibincangkan di peringkat pengurusan. Masuk saja dua tahun sebelum pilihan raya, kita akan masuk ‘gear enam’ untuk persediaan berhadapan dengan PRU ke-16.
“Jadi, apa yang berlaku hari ini dan beberapa bulan sebelum ini adalah antara persiapan supaya UMNO Selangor boleh bangkit semula,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Majlis Perasmian Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat UMNO Negeri Selangor diadakan untuk menyemai semangat baharu para perwakilan bagi menghadapi Mesyuarat UMNO Bahagian yang kini berlangsung.
“Malam ini adalah satu sejarah yang pertama dibuat oleh UMNO Selangor apabila kita telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri secara serentak untuk 22 bahagian.
“Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Perhubungan UMNO Selangor dan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan.
“Mesyuarat telah mencadangkan supaya ada satu pertemuan besar diadakan dan saya bersetuju dengan cadangan ini. Alhamdulillah, kita dapat lihat semangat baharu terutamanya daripada sayap-sayap selepas mereka mengadakan mesyuarat cawangan masing-masing,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa segala andaian yang dibuat terhadap UMNO Selangor langsung tidak melemahkan semangat perjuangan dibawa.
“Selain daripada menyampaikan sedikit amanat kepada para perwakilan untuk digunakan dalam persidangan masing-masing, adalah lebih penting mereka tahu hala tuju parti terutamanya di peringkat Negeri Selangor.
“Saya faham ada pelbagai andaian yang dibuatkan terhadap UMNO Selangor tetapi itu bukanlah satu perkara yang melemahkan semangat kami. Alhamdulillah kami bersama ketua-ketua UMNO bahagian seperti yang telah ditonjolkan hari ini seia sekata untuk memastikan UMNO Selangor kembali kukuh dalam PRU yang akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online