Abdul Raof Pangku Jawatan Ketua UMNO Kota Raja

SHAH ALAM, 11 Jun – Jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja kini dipangku Abdul Raof Mokhtar, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau berkata Abdul Raof yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan ketika ini memangku jawatan itu sehingga pemilihan parti akan datang.

Megat Zulkarnain berkata ia susulan peletakan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang turut menyatakan niat menyertai PKR pada 30 Mei lepas.

 

“Secara automatiknya Timbalan Ketua UMNO Bahagian (Kota Raja) akan memangku jawatan itu (ketua bahagian). Kita akan hantar surat rasmi kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk dibawa dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam yang dihadiri 1,248 perwakilan sayap-sayap parti negeri itu malam tadi.

Megat Zulkarnain memaklumkan persahabatannya dengan Tengku Zafrul juga masih seperti biasa dan turut menyeru UMNO Selangor untuk terus bekerja serta bergerak ke hadapan.

Pada 30 Mei lepas, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO menerusi kenyataan di Facebook dan memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada pucuk pimpinan UMNO pada tarikh yang sama.

Tengku Zafrul menerusi surat yang dihantar kepada pimpinan UMNO menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79