Mesyuarat Bahagian Medan Suarakan Pandangan, Perkukuh Perjuangan – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berharap Mesyuarat Bahagian yang berlangsung dimanfaatkan sebaiknya dalam menyemarak semangat perjuangan parti keramat ini.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata ia juga medan terbaik dalam membawa suara akar umbi dalam memperkukuh UMNO.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengucapkan Selamat Bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri dari setiap pelusuk tanah air.

“Inilah medan untuk menyuarakan pandangan, memperkukuh perjuangan, dan memperteguh saf kepimpinan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu turut sama berharap persidangan ini menjadi wadah yang memperkasa tekad, menyatukan iltizam dan membina hala tuju yang lebih cemerlang.

“Ini semua untuk masa depan UMNO yang selama ini sebagai benteng utama umat Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” ujar beliau.

Untuk rekod pada 12 Mac lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Jun hingga 27 Julai dan 20 Ogos hingga 23 Ogos bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79