Kesetiaan Ahli Elemen Penting Bawa Arus Perjuangan Parti – Azhari

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyifatkan kesetiaan ahli, merupakan kualiti penting dalam membawa arus perjuangan parti.

Menurut beliau ini kerana, elemen tersebut sebagai kekuatan seterusnya membawa nilai kesatuan bagi mendepani cabaran masa depan terutama bagi menghadapi pilihan raya.

“Kukuhkan perpaduan di peringkat akar umbi ini walaupun kita dilihat sebagai kecil, tapi jangan kita kecilkan lagi.

“Jangan kita bergaduh dengan perkara yang remeh-temeh, adu domba dan sebagainya… yang mana hendak tinggalkan kita itu biarkan mereka pergi.

“Sebaliknya jaga ahli kita yang berkualiti kerana bagi saya penting menekankan kualiti daripada kuantiti,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Azhari dalam pada itu meluahkan kesyukuran berakhirnya mesyuarat cawangan dengan jayanya pada bulan lalu sebelum disusuli dengan mesyuarat bahagian yang bermula pada 9 Jun ini.

Katanya mesyuarat cawangan berlangsung dengan harmoni sebagai simbolik keluarga besar UMNO di samping membawa idea-idea baharu ke arah hala tuju parti yang lebih dinamik.

“Alhamdulillah ramai dan kuatnya peringkat akar umbi parti melaksanakan tanggungjawab mereka untuk bersidang di peringkat cawangan-cawangan.

“Pengamatan di kawasan saya sendiri, memang majoriti cawangan bermesyuarat dan kehadiran ahli-ahli membanggakan,” ujar beliau.

Untuk rekod pada 12 Mac lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Jun hingga 27 Julai dan 20 Ogos hingga 23 Ogos bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79