Kebersamaan Dan Kesatuan Tulang Belakang Kejayaan UMNO – Mohd Rafi

LABUAN, 10 Jun – Semangat kebersamaan dan kesatuan yang utuh dalam kalangan ahli dan pimpinan UMNO Labuan terus menjadi pemangkin kekuatan parti, seperti dizahirkan dalam pelaksanaan Program Korban Perdana UMNO Bahagian Labuan ke-17 yang berlangsung meriah di Kampung Batu Manikar baru-baru ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menegaskan bahawa kekuatan sesebuah organisasi politik bukan hanya terletak pada kepimpinannya semata-mata, tetapi lebih penting adalah keberadaan jentera akar umbi yang setia, ikhlas dan berjiwa sukarelawan.

“Komitmen dan keberadaan kamu semua sangat dirasai dan cukup membanggakan. Inilah kekuatan dan kesatuan yang perlu diteruskan bagi mencipta kejayaan di masa-masa akan datang,” ujar beliau kepada UMNO Online.

Jelasnya, program tersebut adalah kesinambungan yang diteruskan sejak tahun 2008 itu merupakan cetusan ilham beliau ketika memegang amanah sebagai Ketua Pemuda UMNO Labuan.

“Dengan tekad untuk menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim AS dan menjadikan UMNO sebagai jambatan yang menyatukan rakyat dengan perjuangan agama, program ini terus subur dan menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat setempat.

“Program ini bukan sekadar menyembelih lembu korban, tetapi ia medan penyatuan ummah, memperkukuhkan ikatan kekeluargaan antara ahli-ahli parti dan masyarakat umum,” tambah beliau.

Apa yang lebih menarik katanya, tahun ini menyaksikan penglibatan luar biasa daripada generasi muda dan sukarelawan tempatan yang berganding bahu dari awal hingga akhir pelaksanaan ibadah korban.

Menurut Mohd Rafi, keterlibatan anak muda dalam program sebegini adalah bukti bahawa semangat perjuangan dan nilai murni dalam UMNO terus diwarisi dan disematkan dalam sanubari generasi pelapis.

“Inilah wajah sebenar UMNO parti yang bukan hanya berpolitik, tetapi mengangkat nilai-nilai keagamaan, kebajikan, dan perpaduan sebagai asas perjuangan. Saya amat bersyukur kerana dikurniakan saf kepimpinan UMNO Labuan yang sentiasa prihatin, komited dan sanggup memikul amanah dengan penuh tanggungjawab.

“Inilah kekuatan kita yang menjadikan politik sebagai satu ibadah. Prinsip ini menjadi pegangan kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat melalui wadah perjuangan UMNO, parti yang terus menjadi payung dan pelindung kepada masyarakat.”

Ujarnya, Program Korban Perdana UMNO Labuan kini tidak lagi dilihat hanya sebagai program keagamaan semata-mata, tetapi telah berkembang menjadi simbol perpaduan masyarakat setempat.

“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih atas kehadiran rakan-rakan daripada parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan, serta seluruh kepimpinan UMNO bahagian dan cawangan dari segenap pelosok Labuan yang turut sama memeriahkan program pada hari ini. Kehadiran yang begitu ramai memberi semangat baharu untuk saya teruskan penganjuran Korban Perdana ini pada tahun-tahun yang akan datang.”

Dalam pada itu, Mohd Rafi turut menyeru agar semangat kesatuan yang ditonjolkan dalam program ini dapat diterjemahkan secara konsisten dalam setiap gerak kerja parti.

“Kita sudah lihat hasilnya apabila kita bersatu maka masyarakat lebih percaya, perjuangan lebih terarah, dan kejayaan lebih mudah dicapai. Oleh itu, kekuatan dan kebersamaan ini perlu kita pelihara dan perkukuh dari semasa ke semasa.

“Dengan pelaksanaan berterusan program-program berbentuk kerohanian, kebajikan dan kemasyarakatan seperti ini, UMNO Labuan dilihat terus relevan dan dekat di hati rakyat malah menjadi pemacu perpaduan serta benteng utama memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79