“Jangan Jadikan Kekangan Kewangan Halang Pengajian” – Dr Asyraf Wajdi
GERIK, 10 Jun – “Jangan sesekali jadikan kekangan kewangan sebagai penghalang untuk menimba ilmu,” tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika melawat mangsa tragedi kemalangan bas di Tasik Banding, di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi beberapa mangsa di Hospital Gerik, termasuk seorang pelajar UPSI, Nur Ain Najwa, yang mengalami kecederaan patah tangan dalam insiden menyayat hati tersebut.
“Ain berasal dari keluarga susah. Ibunya hanya mengambil upah mencuci rumah orang, manakala ayahnya telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Lebih menyentuh hati saya apabila Ain ceritakan adik-adiknya sanggup menolak tawaran melanjutkan pengajian ke UMK dan Unisza demi membantu menampung kos pengajiannya di UPSI.
“Sebagai Pengerusi MARA, saya amat terkilan jika masih ada anak-anak pintar yang terpaksa menolak tawaran universiti hanya kerana tidak mampu. Saya berikan nombor telefon peribadi saya kepada Ain supaya dia boleh terus hubungi saya. Kita di MARA akan bantu sebaik mungkin,” ujarnya lagi.
Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, bantuan segera sebanyak RM1,000 telah disalurkan melalui Yayasan Pelajaran MARA pagi semalam bagi meringankan beban keluarga yang terpaksa datang dari jauh, malah ada yang kehilangan anak dalam tragedi tersebut.
“Kita mahu pastikan tidak ada lagi anak-anak yang tercicir daripada pendidikan hanya kerana kemiskinan. Ilmu adalah jalan keluar daripada belenggu kemiskinan, dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk pastikan tiada siapa yang terpinggir,” tambahnya.
Dr Asyraf turut meminta rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan kesembuhan dan ketabahan semua mangsa serta keluarga yang terlibat dalam tragedi tersebut.
“Insiden ini amat meruntun jiwa. Semoga kita terus menghayati erti kebersamaan dan tidak membiarkan sesiapa pun tertinggal dalam arus pendidikan negara.” – UMNO Online