Akar Umbi Sebagai Nadi UMNO, Terus Perkukuh Semangat Perjuangan – Ismail
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menyifatkan mesyuarat cawangan dan bahagian sebagai medan memperkukuh semangat perjuangan dalam kalangan pendukung parti.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata menerusi mesyuarat cawangan yang telah dilaksanakan sebelum ini juga memperlihatkan sebagai simbolik kebangkitan dalam kalangan ahli.
“Selesai mesyuarat cawangan saya dapati bahawa sambutan kepada persidangan tahunan tahun ini amat semangat sekali dengan kehadiran yang ramai.
“Saya nampak insya-Allah akan ada kebangkitan daripada ahli UMNO dari segi semangat untuk kukuh semula dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU),” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.
Sementara itu menerusi satu hantaran di Facebook, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senaling dalam pada itu menyifatkan persidangan UMNO bahagian yang bermula pada 9 Jun sebagai ruang pencerahan untuk menyampaikan maklumat yang tepat membabitkan parti.
Katanya ia bagi memberi penjelasan hala tuju parti serta memberi kefahaman mendalam kepada perwakilan mengenai isu semasa dan naratif parti.
“Inilah masanya untuk setiap persoalan dijawab rapi, setiap permasalahan dikongsi bersama dan setiap rasa ketidakpuashatian diluahkan dalam santunan adat Melayu.
“Kita tidak boleh anggap perwakilan hanya hadir untuk memenuhi ruang tanggungjawab parti semata-mata. Mereka adalah suara akar umbi yang membawa aspirasi rakyat di peringkat bawah. Mereka adalah agen kepada penerangan parti secara rasmi dan tidak rasmi,” ujar beliau.
Pada masa yang sama katanya persidangan ini boleh dimanfaatkan sebagai ‘gathering’ keluarga UMNO iaitu sebagai tempat memperkukuh silaturrahim sesama ahli, merapatkan jurang generasi dalam parti dan menyemai kembali semangat perjuangan.
Menurutnya hubungan yang kukuh antara ahli adalah asas kepada kekuatan sesebuah organisasi.
“Jangan sekadar datang dan balik ayuh jadikan ia ruang mengeratkan ukhuwah adik beradik DNA UMNO. Akar umbi adalah nadi UMNO.
“Tanpa mereka, parti akan hilang arah dan kekuatan. Oleh itu, peringkat bahagian perlu ambil serius peranan sebagai penggerak semangat dan pemangkin penyatuan. Ini termasuklah kepimpinan dan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian.
“Manfaatkan persidangan bukan hanya untuk melapor atau memberi ucapan, tetapi sebagai detik menyuntik motivasi, memperbaharui tekad dan menanam semangat kebersamaan dalam perjuangan,” ujar beliau. – UMNO Online