Sekali Berjuang, Terus Berjuang… Hingga Capai Kemenangan

SEPANGGAR, 17 Mei – “Sekali berjuang, terus berjuang… sehingga mencapai kemenangan.”

Demikian kata-kata semangat yang dilontarkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin di hadapan lebih seribu jentera dan pendukung parti UMNO Bahagian Sepanggar.

Berucap di Majlis Pelancaran Gerak17 Parlimen Sepanggar, petang tadi di sini, Bung yang juga Ketua UMNO Negeri menyeru setiap jentera parti perlu terus berjuang hingga mencapai kemenangan di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 kelak.

“Itulah matlamat kita. Kalau kita menang, kita boleh bangunkan negeri Sabah, kita boleh senangkan rakyat Sabah, kita bangkitkan Sabah ini semasa Barisan Nasional.

“Sentimen rakyat, akar umbi di kampung-kampung, di mana-mana penolakan terhadap GRS jelas sekali sebab mereka kerajaan paling gagal dalam sejarah negeri Sabah. 15 Ketua Menteri yang dianalisa oleh penulis… yang paling gagal iaitu (Datuk Seri) Hajiji Nor, Ketua Menteri paling gagal di negeri Sabah. Sebab dia tidak mahu majukan negeri Sabah,” tegas Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian-bahagian dalam negeri Sabah termasuk Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Yakub Khan.

Jelas Bung lagi, kemenangan BN dan PH di Sabah amat penting terutama dalam menyelesaikan masalah kemudahan asas yang menyelubungi kehidupan harian rakyat kini seperti isu bekalan air bersih dan elektrik yang sering terputus serta jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik oleh Kerajaan GRS.

Justeru katanya, PRN Ke-17 ini amat penting dan BN harus menggerakkan jentera daripada peringkat awal supaya sentiasa bersiap sedia.

“PRN Ke-17 ini pilihan raya yang amat penting. BN termasuk MCA, MIC, PBRS dan Pakatan Harapan (PH) harus bekerjasama pastikan calon kita menang. Kita kembalikan kemenangan ini bersama.

“Kita tidak boleh lagi leka, lalai. Masalah kecil ketepikan, samakan matlamat dan tekad kita. Sabah ini negeri berpotensi untuk diubah, dibangunkan, dimajukan, dikeluarkan dari kemiskinan. Tetapi kalau pemimpin tidak mahu berubah maka tidak akan ada perubahan,” katanya.

Ulasnya juga, BN telah terbukti membawa kemajuan negeri.

“Sabah ini nampak maju pada 2004 semasa Barisan Nasional memerintah. Inilah masanya kita teruskan kecemerlangan Barisan Nasional ini melalui pilihan raya kali ini.

“Kita nyatakan kepada rakyat negeri Sabah bahawa kita mampu membawa arus perjuangan ini kepada rakyat negeri Sabah itu sendiri,” katanya.

Bung turut membidas GRS yang bertindak seolah-olah meniru pendekatan Gerak17 BN dengan membuat pelancaran Gasak17.

“Kita buat Gerak17, dia buat pelancaran Gasak17… dia sudah gasak kekayaan di negeri Sabah, gasak kayu balak, gasak pasir silika, gasak mineral, gasak projek Sabah, gasak kekayaan Sabah… video dia keluar.

“Tapi masih lagi merayu “bagi kami peluang buat kedua kali”. Yakinkanlah buat rakyat, tiada lagi peluang buat pemimpin GRS,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79