UMNO Kekal Berprinsip, Lebih Matang Dan Strategik Hadapi Cabaran – Mu’izz

KUALA LUMPUR, 16 Mei – UMNO masih berprinsip dan tidak pernah meninggalkan perjuangan namun dilihat kini lebih matang serta strategis dalam mendepani cabaran politik yang semakin dinamik seiring perubahan zaman.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin berkata, tuduhan bahawa UMNO telah lari daripada perjuangan asal adalah satu persepsi yang tidak tepat dan adil.

“Sepanjang 79 tahun tertubuh, UMNO sentiasa mementingkan perjuangan untuk membela hak kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Kalau ada yang kata UMNO lari daripada perjuangan asalnya… saya rasa itu satu persepsi yang tidak tepat dan mungkin juga tidak adil.

“UMNO sejak hari pertama penubuhannya, memang diasaskan atas perjuangan yang jelas mempertahankan hak orang Melayu, menjaga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, dan memastikan kestabilan negara. Itu tak pernah berubah.

“Tetapi kita juga kena faham, dunia berubah. Rakyat berubah. Cabaran pun berubah. Jadi pendekatan kita mestilah berubah jika tidak mahu ketinggalan.

Ujarnya, UMNO pada hari ini mempertahankan warisan yang telah dibina di samping memacu perubahan dari pelbagai sudut seperti ekonomi, aset, pendidikan dan sebagainya.

“UMNO tidak pernah tinggalkan prinsip. Tapi kita juga tak boleh terperangkap dalam nostalgia. Apa gunanya kita melaungkan perjuangan Melayu kalau anak muda Melayu sendiri rasa mereka tidak ada masa depan? Kalau ekonomi tidak menyebelahi mereka? Kalau mereka rasa parti ni tak faham aspirasi mereka?

“Jadi, UMNO hari ini bukan sekadar mempertahankan warisan kita juga memacu perubahan. Kita bercakap tentang digital economy, pemilikan aset, pendidikan yang relevan, dan daya saing global. Itu semua adalah cara-cara baru kita mempertahankan orang Melayu dalam konteks dunia moden,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO cukup berani untuk berjuang dengan cara yang lebih relevan pada hari ini.

“Kalau dulu kita berjuang menentang penjajahan fizikal, hari ini kita berjuang menentang penjajahan minda dan ketidaksamaan peluang. Ini bukan tanda UMNO sudah lari daripada perjuangan. Ini bukti bahawa kita matang, fleksibel, dan bersedia untuk membawa bangsa kita ke tahap yang lebih tinggi.

“Jadi pada saya, soalan yang lebih tepat bukan sama ada UMNO sudah lari daripada perjuangan. Soalan yang sebenar ialah adakah kita cukup berani untuk berjuang dengan cara yang lebih relevan dan berkesan hari ini? Saya percaya, jawapannya adalah ‘ya’. UMNO masih di sini… masih berprinsip,cuma lebih matang dan lebih strategik,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79