Sekolah Politik UMNO Satu Amanah, Permulaan Perjalanan Pelapis Parti
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Sekolah Patriotik UMNO merupakan bukti kesungguhan UMNO dalam meremajakan parti bagi memperkukuh asas perjuangan, kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Ameerul Zafran Saiful Amir.
Beliau yang juga sebagai ketua pelajar Sekolah Patriotik UMNO sesi pertama ini berkata, program seperti ini bukan hanya menyediakan platform pendidikan untuk mendalami sejarah dan perjuangan UMNO, tetapi juga memastikan generasi muda terus berperanan dalam landskap politik negara.
“Sebagai kumpulan pertama yang menjalani program ini, kami sangat merasai impak besar dalam perjalanan politik kami. Kami tidak hanya menerima ilmu tentang politik dan perjuangan UMNO, tetapi turut diajar untuk menjadi pemimpin yang berpegang pada prinsip, nilai perjuangan, dan tanggungjawab besar yang perlu digalas.
“Sekolah ini turut memberi penekanan kepada pembentukan pemimpin yang seimbang, baik dari segi rohani mahupun jasmani, bagi memastikan kami bukan sahaja cemerlang dalam pemikiran dan tindakan, tetapi juga memiliki jati diri yang teguh dan mampu berfikir secara holistik.
“Kami dilatih untuk menggabungkan nilai-nilai keimanan dan integriti dalam setiap langkah perjuangan kami, supaya dapat menyumbang kepada UMNO, rakyat dan negara dengan cara yang lebih efektif dan berkesan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Ameerul Zafran yang juga merupakan Exco Pemuda UMNO Negeri Kedah dalam pada itu berkata kepimpinan parti terutama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi perhatian khusus kepada usaha meremajakan parti menunjukkan keseriusannya untuk memastikan UMNO kekal relevan.
“Sokongan daripada Datuk Seri Wan Rosdy, Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Majlis Perkaderan dan Latihan serta Datuk Seri Shahaniza dan Datuk Hasmuni Hassan memperlihatkan kesungguhan dalam memperkasa perjuangan UMNO, dengan memberi penekanan kepada pembentukan generasi pelapis yang berwibawa,” ujar beliau.
Menyentuh berkenaan konvokesyen yang diadakan pada hari Ahad ini, beliau berkata ia sangat bermakna kerana diadakan bersekali sempena sambutan ulang tahun UMNO yang ke-79.
Menyifatkan sebagai permulaan perjalanan sebagai pelapis parti, Ameerul Zafran menganggap ia tanggungjawab besar dalam meneruskan legasi UMNO dan memastikan perjuangan ini terus relevan.
“Sebagai ketua pelajar, saya merasa terharu dan bangga kerana dapat mengakhiri fasa ini dengan satu peristiwa bersejarah yang mengukir nama kami dalam sejarah UMNO.
“Perasaan ini memberi semangat yang lebih untuk kami terus berjuang demi parti, negara dan rakyat, sambil memastikan UMNO terus menjadi tonggak kekuatan politik di Malaysia,” ujar beliau.
Untuk rekod, UMNO pada Ahad ini akan menyambut ulang tahun UMNO ke-79 dan secara julung kalinya diraikan dengan Konvokensyen Sekolah Patriotik UMNO.
Sekolah Patriotik UMNO melibatkan penyertaan 50 pelajar terpilih dari seluruh negara daripada pelbagai latar belakang yang menjalani latihan selama 12 minggu. – UMNO Online