UMNO Ke-79: Perjuangan Lebih Realistik Depani Dunia Yang Makin Mencabar – Atiqah
KUALA LUMPUR, 9 Mei – Bersempena ulang tahun UMNO pada 11 Mei ini, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Nur Atiqah Najihah Hairudi berpandangan ia sebagai perjuangan panjang kepada pendukung parti dalam membawa obor perjuangan.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Segambut berkata meskipun berdepan dengan dinamika politik yang mencabar namun prinsip perjuangan parti ini terus dipelihara oleh kepimpinan dan akar umbi parti, sekaligus membuktikan parti ini terus relevan.
“Pada 11 Mei ini, UMNO menyambut ulang tahun yang ke-79. Satu perjalanan panjang yang membuktikan perjuangan parti keramat ini. Sebagai seorang ahli Puteri UMNO, saya amat bangga berdiri bersama jutaan lagi ahli yang setia, menjunjung perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
“Ada yang menuduh UMNO sudah lari daripada landasan asal. Apa yang saya lihat, perjuangan UMNO tetap utuh, UMNO tetap konsisten dalam memperjuangkan hak orang Melayu dan memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi.
“Perjuangan UMNO hari ini lebih realistik demi memastikan orang Melayu terus maju dalam dunia yang makin mencabar. UMNO bukan sekadar mempertahankan warisan, tetapi juga membawa perubahan untuk masa depan bangsa.
“Jika kita lihat dasar-dasar parti, segala pendekatan yang diambil tetap berpaksikan kepada prinsip asal perjuangan iaitu agama, bangsa dan tanah air,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Mengulas lanjut, Nur Atiqah turut sama menyeru ahli parti untuk meneruskan kesetiaan bagi mengangkat kembali kegemilangan UMNO agar terus menjadi pilihan rakyat sebagai parti terbesar orang Melayu di negara ini.
“Kepada akar umbi, teruskan kesetiaan dan semangat juang kerana kekuatan parti ini terletak di tangan kita. Marilah kita rapatkan saf, buang yang keruh dan terus mara demi masa depan bangsa dan agama.
“Bersama kita kembalikan kegemilangan UMNO sebagai parti yang relevan dan diyakini rakyat. Inilah masa untuk kita bangkit, bersatu dan kembali menjadi suara utama rakyat,” ujar beliau.
Untuk rekod, ulang tahun UMNO disambut setiap tahun pada 11 Mei sebagai manifestasi ahli parti menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti.
Sambutan ini juga antara lain sebagai platform memperkukuh perpaduan dan solidariti dalam kalangan pendukung UMNO. – UMNO Online