Sekolah Patriotik UMNO Mampu Lahirkan Pejuang Parti Sejati – Mohd Zaidi
KUALA LUMPUR, 9 Mei – Sekolah Patriotik UMNO ini diyakini mampu melahirkan pejuang sejati yang sentiasa meletakkan kepentingan parti melebihi individu, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, perjuangan UMNO memerlukan kekuatan dan kesetiaan anak watan untuk memahami segala pengorbanan yang telah ditaburkan.
“Penubuhan Sekolah Patriotik UMNO ini adalah satu langkah bersejarah yang penuh semangat dan keikhlasan. Ia bertujuan melahirkan generasi bukan sahaja memahami, menghayati, malah mampu meneruskan perjuangan suci yang telah dirintis oleh pemimpin terdahulu.
“Ini kerana perjuangan UMNO memerlukan kekuatan dan kesetiaan yang utuh daripada setiap anak watan yang memahami erti pengorbanan dan perjuangan bangsa.
“Sekolah Patriotik UMNO ini diyakini mampu melahirkan pejuang sejati yang sentiasa meletakkan kepentingan matlamat parti melebihi kepentingan individu. Mereka ini berjiwa besar, bertekad dan berjuang tanpa mengharapkan balasan,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, para graduan Sekolah Patriotik UMNO ini merupakan pewaris dan pelapis kepada perjuangan parti dengan semangat cintakan agama serta bangsa yang mendalam.
“Seperti kata pepatah lagi ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’, generasi yang dilahirkan dari Sekolah Patriotik UMNO haruslah berani menghadapi cabaran dan berjuang demi agama, bangsa serta negara.
“Mereka adalah pewaris perjuangan yang tidak akan gentar walau badai datang melanda kerana memahami bahawa ‘berjuang sampai menang, kalah jangan menyerah’ adalah semangat utama dan harus dipegang seteguh-teguhnya.
“Dengan semangat cintakan bangsa dan agama yang mendalam, mereka akan menjadi pelita yang menerangi jalan perjuangan UMNO pada masa sekarang… demi memastikan kesinambungan perjuangan yang penuh keikhlasan ini terus berkekalan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Untuk rekod, UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei akan datang setelah ditubuhkan pada tahun 1946.
Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 kali ini lebih bermakna dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO melibatkan 48 orang pelajar. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman