Kerjasama BN–PH Buka Ruang Lebih Luas Untuk Sabah – Salleh Said Keruak
KOTA KINABALU, 9 Mei – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, menyifatkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai langkah penting ke arah kestabilan politik negeri itu.
Menurut beliau, kesepakatan antara dua gabungan utama itu bukan sahaja menjanjikan kekuatan politik yang lebih mantap, tetapi turut membuka ruang rundingan yang lebih inklusif melibatkan parti-parti tempatan di Sabah.
“Kerjasama ini harus berlandaskan keikhlasan, pemilihan calon yang berwibawa, serta dasar-dasar yang benar-benar membela nasib rakyat,” katanya.
Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan turut menegaskan bahawa Sabah amat memerlukan kestabilan politik untuk memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan menyeluruh.
“Semua pihak perlu mengetepikan perbezaan dan bersatu demi masa depan negeri,” ujarnya.
Terdahulu dilaporkan BN dan PH telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama oleh Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.
Menurut kenyataan itu, kesepakatan dicapai pada mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Mei lalu. – UMNO Online